KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini tampil membuat permohonan maaf kepada rakyat Terengganu khususnya mangsa banjir kerana tidak dapat berada bersama mereka pada waktu kritikal bencana dari 18 hingga 21 Disember lalu.
Naib Presiden Pas itu membuat permohonan maaf tersebut dalam sebuah video yang dimuat naik di Facebook rasminya selepas mendengar taklimat pengurusan bencana di Pejabat Daerah Kemaman pagi tadi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang turut melahirkan rasa kesalnya yang tidak terhingga atas apa yang terjadi.
“Untuk rekod juga, saya ingin maklumkan saya ada bertemu mangsa banjir fasa pertama iaitu pada 9 dan 10 Disember.
“Bagaimanapun, oleh kerana saya tidak dapat bertemu mangsa banjir pada waktu kritikal iaitu 18 hingga 21 Disember, saya ingin ambil kesempatan mohon jutaan kemaafan dari seluruh mangsa dan rakyat Terengganu atas apa yang berlaku.
“Saya faham bahawa saya tidak boleh beri apa jua alasan dan sudah tentu tidak boleh membetulkan keadaan ketiadaan saya di sisi rakyat di waktu sebegini.
“Saya juga faham walau apa jua penjelasan yang saya berikan tentulah sudah tidak bermakna apa-apa,” katanya dalam video tersebut.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menegaskan, beliau sentiasa meneliti perkembangan semasa banjir sepanjang tempoh ketiadaannya di Terengganu ketika itu.
“Saya sentiasa berkomunikasi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan setiap keputusan yang memerlukan kelulusan saya sebagai Menteri Besar dapat diteruskan setelah perbincangan dibuat dengan jawatankuasa tersebut.
“Kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi banjir kali ini malangnya cuaca yang terlalu ekstrim dengan hujan terlalu lebat telah menyebabkan berlakunya bencana banjir luar biasa,” katanya.
Utusan Online semalam melaporkan mangsa banjir di beberapa kawasan di daerah ini menggesa Ahmad Samsuri turun padang melihat bencana buruk yang sedang dihadapi mereka. – UTUSAN










