SAM bimbang projek kereta kabel jejaskan alam sekitar Bukit Bendera - Utusan Malaysia

SAM bimbang projek kereta kabel jejaskan alam sekitar Bukit Bendera

ILUSTRASI artis berkenaan projek Kereta Kabel Bukit Bendera di Pulau Pinang yang dijangka siap dibina dan mula beroperasi dalam tempoh tiga tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) mahu kerajaan negeri melaksanakan penilaian kesan alam sekitar dan sosial yang terperinci sebelum memulakan projek Kereta Kabel Bukit Bendera kerana dikhuatiri menjejaskan alam sekitar kawasan berkenaan.

Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, penilaian kesan alam sekitar itu perlu dilaksanakan mengikut undang-undang dan mesti melibatkan perundingan awam yang telus.

“SAM berasa amat bimbang apabila projek kereta kabel Bukit Bendera telah dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn. Bhd. dan akan ditempatkan di kawasan Taman Botani.

“Kebimbangan kami dalam menentang projek ini adalah berdasarkan kepada keperluan untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan biodiversiti, pengurusan dan pemuliharaan Bukit Bendera memandangkan pengiktirafannya sebagai Rizab Biosfera UNESCO,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow semalam berkata, permohonan cadangan projek (RFP) untuk projek Kereta Kabel Bukit Bendera telah dianugerahkan kepada Hartasuma dan projek bernilai RM245 juta itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Menurut Meenakshi, pihaknya amat mengambil berat tentang kesan alam sekitar dan sosial termasuk kesesakan lalu lintas semasa pembinaan kereta kabel dan penyelenggaraannya yang melibatkan stesen bawah sehingga ke stesen atas Bukit Bendera.

“Bukit Bendera dan Taman Botani merupakan ekosistem alam sekitar yang sangat sensitif, kami amat bimbang projek kereta kabel akan menjejaskan kawasan sensitif ini.

“Sepatutnya objektif kerajaan negeri adalah mengehadkan bilangan pelancong di Bukit Bendera memandangkan keperluan alam sekitar dan kita tidak memerlukan lebih banyak produk pelancongan serta lebih ramai pengunjung di atas Bukit Bendera,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menentang projek kereta kabel itu memandangkan kapasiti Bukit Bendera dalam menampung jumlah pengunjung adalah terhad.

“Kajian prakebolehlaksanaan untuk projek kereta kabel yang menyatakan sejumlah 6,463 orang boleh berada di kawasan ini pada satu-satu masa hanya untuk mewajarkan projek kereta kabel ini.

“Kebimbangan kami ialah perkembangan ekonomi menerusi projek kereta kabel akan menyebabkan lebih ramai pelancong di atas Bukit Bendera sehingga melebihi kapasiti maksimum 4,800 orang pada satu-satu masa seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Khas Kawasan (SAP) 2016,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, selain kesan alam sekitar dan sosial, pihaknya turut mempersoalkan mengenai keputusan kerajaan negeri menganugerahkan konsesi 30 tahun kepada syarikat yang akan melaksanakan projek kereta kabel terbabit.

“Berapa caj tiket yang akan dikenakan kepada orang ramai berhubung perkara ini dan kita mahu kerajaan negeri telus berhubung kebimbangan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.