fbpx

Rasuah: Dua bekas kakitangan syarikat pos bedepan penjara 20 tahun, denda

ABDUL Hadi Aziz Wong (depan kanan) dan Ruslan Sapari (depan kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM: Tindakan dua bekas pegawai sebuah syarikat logistik disenarai awam dipercayai mempercepatkan bayaran kepada syarikat pembekal khidmat pengangkutan dan ulang-alik di Sabah dan Sarawak, dua tahun lalu mengundang padah apabila dituduh di Mahkamah Sesyen hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh Abdul Hadi Aziz Wong,48, dan Ruslin Sapari, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh atas tuduhan menerima bayaran sebanyak RM26,000 yang dibacakan secara berasingan.

Abdul Hadi sebelum ini bertugas sebagai Ketua Kontrak dan Pengurusan Armada didakwa tiga pertuduhan menerima suapan keseluruhan bernilai RM16,000 sementara  Ruslin Sapari ketika menjadi Penolong Pengurus Operasi Pengurusan Pengangkutan pula dituduh dua pertuduhan rasuah berjumlah RM10,000.

Kesemuanya adalah bertujuan bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh agensi itu kepada sebuah syarikat logistik lain bagi kerja-kerja ‘Outsourcing Linehaul’ dan ‘Shuttle Services’ di kedua-dua negeri berkenaan.

Wang itu diterima menerusi pindahan wang atas talian dengan kesalahan dilakukan mereka antara 11 Jun hingga 23 Julai 2020 di dua buah cawangan bank iaitu di USJ Subang Jaya dan Ara Damansara dekat sini.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samat kemudian menawarkan jaminan RM8,000 kepada Abdul Hadi dan RM5,000 bagi Ruslan bersama seorang penjamin masing-masing selain syarat tambahan menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM.

Pembelaan diwakili Peguam Irzan Iswatt Mohd. Noor dan Najiah Zaimah Aris masing-masing memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM7,000 kepada Abdul Hadi dan Ruslan sebanyak RM5,000 bersama penjamin selain membenarkan syarat tambahan. Sebutan semula kes pada 13 Januari tahun depan. 

Pada 28 September lalu bekas Ketua Perancang Bahagian Pengurusan Pengangkutan syarikat terbabit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka atas 26 pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM248,000.

Tertuduh, Hazri Mokhtar, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN