Pusat SAR kesan warga emas hilang ditutup

Pusat SAR kesan warga emas hilang ditutup

PUSAT operasi SAR di Bukit Durian, Batu 10, Pagoh, Muar ditutup sejak semalam selepas tujuh hari dibuka. -UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dibuka sejak Jumaat lalu bagi mengesan seorang warga emas,  Goh Sang Seng, 56, yang hilang semasa mendaki Bukit Durian, Batu 10, Pagoh, di sini ditutup, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pusat itu ditutup selepas 100 peratus kawasan telah dilakukan SAR selama tujuh hari  dengan pelbagai kaedah.

“Setelah mangsa dilaporkan hilang pada petang 24 November lepas, operasi SAR telah bermula pada malam itu dengan pusat kawalan operasi dibuka keesokan harinya.

“Selama seminggu pencarian, kita telah meneroka keseluruhan bukit ini yang berkeluasan lima kilometer persegi. Selain itu, kita turut menggunakan pelbagai elemen termasuklah unit anjing pengesan K9, bantuan helikopter serta alatan teknologi drone dilengkapi sistem infra merah yang boleh mengesan kelibat individu meskipun dalam keadaan tersembunyi,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, kaedah tradisional turut digunakan apabila ada individu luar tampil membantu, namun tiada sebarang petunjuk ditemukan berhubung keberadaan mangsa.

Raiz Mukhliz berkata, operasi SAR bagaimanapun diteruskan dalam skala kecil melibatkan ahli keluarga dan beberapa anggota polis dari balai berhampiran.

“Polis masih menjalankan siasatan dengan memantau pergerakan keluar masuk mangsa ke negara lain sekiranya ada, serta pemeriksaan panggilan telefon bimbit mangsa.

“Buat masa ini, kita menolak sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang,” katanya.

Seramai 70 anggota terlibat dalam operasi SAR termasuk polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Bomba dan Penyelamat serta Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM).

Terdahulu, media melaporkan Sang Seng, hilang selepas menuruni bukit secara berseorangan.

Dalam kejadian 24 November lalu, mangsa sebelum itu mendaki bersama kira-kira 20 rakannya dan dikatakan sudah beberapa kali melakukan aktiviti pendakian di kawasan berkenaan.

Kehilangan mangsa disedari selepas kesemua rakannya tidak menemukan mangsa di tempat letak kenderaan sejurus selesai aktiviti mendaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN