PTPTN salur RM142,000 kepada 284 penuntut IPT

PTPTN salur RM142,000 kepada 284 penuntut IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM142,000 kepada 284 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Pengerusinya, Dr. Apli Yusoff berkata, bantuan secara one off melalui program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin itu mendapat kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan IPT terlibat.

Katanya, ia adalah antara usaha PTPTN memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara dengan melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang bersepadu bagi membantu pelajar khususnya dan masyarakat amnya.

“Melalui program ini, PTPTN memperuntukkan sebanyak RM142,000 kepada 284 pelajar IPT seluruh negara yang merupakan peminjam PTPTN daripada golongan kurang berkemampuan.

“Setiap pelajar yang layak menerima bantuan sebanyak RM500 secara one off dan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Apli, sehingga 30 November lalu, PTPTN membantu seramai 3.77 juta pelajar untuk melanjutkan pengajian ke IPT dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM68.22 billion. 

Katanya, PTPTN turut membantu pelajar baharu membuat persediaan awal untuk mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi awal (IPTA) dan Politeknik melalui pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP). 

“Sejak 1999 hingga November 2022, seramai 960,882 pelajar menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.42 bilion.

“Selain itu sehingga 30 November 2022, seramai 90,485 peminjam telah diluluskan pengecualian bayaran balik pinjaman, melibatkan pelupusan pinjaman sebanyak RM2.32 bilion,” katanya.

Apli berkata, PTPTN menyusun beberapa inisiatif yang lebih berimpak tinggi bagi tahun 2023 sebagai lanjutan kepada usahanya dalam membantu masyarakat dari pelbagai aspek.

“Antaranya dengan meneroka kaedah alternatif yang bersesuaian sebagai sumber pembiayaan terutama kepada golongan yang memerlukan bantuan. 

“PTPTN juga komited memastikan generasi akan datang dapat menikmati bantuan pembiayaan dengan melaksanakan pelbagai strategi memperkasakan bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam PTPTN,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya