Polis tingkatkan rondaan pastikan rumah mangsa banjir selamat

Polis tingkatkan rondaan pastikan rumah mangsa banjir selamat

NIK Aminuddin Raja Abdullah (kiri) bertanya khabar keadaan mangsa banjir yang berpindah di SMK Seri Kiambang, Pasir Mas, Kelantan hari ini. - FOTO/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Polis mempertingkatkan rondaan bagi memastikan rumah mangsa banjir berada dalam keadaan selamat sepanjang mereka berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkait dengan kecurian harta benda mangsa milik banjir.

“Kebanyakan penduduk risau untuk berpindah selepas memikirkan keselamatan harta benda. Namun selepas berjaya dipujuk oleh polis, mereka akhirnya bersetuju untuk berpindah.

“Mangsa banjir diharap tidak bimbang mengenai barangan mereka kerana polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia sentiasa menjalankan rondaan di kawasan rumah mereka,” katanya semasa sidang akhbar di Pondok Polis Repek, di sini hari ini.

Nik Aminuddin memberitahu, sejak pagi tadi jumlah mangsa banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang mencatatkan seramai 1,486 orang daripada 460 keluarga.

Katanya, lima pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 10 buah kampung di Rantau Panjang dan Pasir Mas sudah ditenggelami air. Terbaharu Kampung Serongga di Pasir Mas sudah ditenggelami air sedalam 0.3 meter hingga 0.8 meter.

“Kampung-kampung yang terjejas banjir itu hanya ditutup kepada kenderaan ringan, namun kenderaan berat masih boleh melalui kawasan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN