Polis gagalkan cubaan tekong darat seludup PATI guna Myvi - Utusan Malaysia

Polis gagalkan cubaan tekong darat seludup PATI guna Myvi

KENDERAAN yang membawa lari lima PATI warga Myanmar ditahan pihak polis di Gua Musang, Kelantan, semalam. - UTUSAN/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Cubaan seorang tekong darat menyeludup lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk dua wanita menggunakan kenderaan Perodua Myvi gagal selepas ditahan polis berhampiran simpang kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini semalam.

Suspek berusia 31 tahun ditahan polis pada pukul 6.20 petang selepas dikejar sejauh 15 kilometer semasa cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menjalankan pemeriksaan ‘snap check’ di Jalan Gua Musang-Mentara Lama di sini kira-kira pukul 6 petang.

Menurutnya, anggota polis melihat kenderaan terbabit membuat pusingan U dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya bertindak memecut kenderaan itu menghala ke bandar Gua Musang.

“Polis bertindak mengekori kenderaan suspek yang melalui jalan di kawasan perindustrian seterusnya melalui jalan Taman Kesedar Jaya dan seterusnya menghala ke bulatan Tanah Putih.

“Selepas 20 minit mengejar, suspek tiba-tiba bertindak mengubah laluannya dengan memasuki simpang kuarters TNB. Anggota polis tidak sempat memberhentikan kenderaan lalu berlaku pelanggaran di bahagian belakang kereta yang dipandu suspek lalu terbabas di dalam longkang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, pemeriksaan di dalam kereta itu membawa kepada penemuan lima PATI warga Myanmar termasuk dua wanita berusia 16 hingga 42 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Katanya, hasil siasatan awal suspek merupakan seorang penyeludup PATI apabila menerima upah RM250 untuk setiap seorang migran.

“Lelaki itu dipercayai mengambil kesemua PATI di sempadan negara di Rantau Panjang untuk dibawa ke Bentong, Pahang. Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan pil yang dipercayai jenis yaba dan ujian air kencing positif dadah jenis methamphetamine,” jelasnya.

Choon Foo berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu; Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya