BERBANDING negeri-negeri lain, Negeri Sembilan menjadi negeri yang mampu menahan gelombang kemenangan buat Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, tidak boleh dinafikan, tempias gelombang itu tetap dirasakan berdasarkan jumlah undi diterima PN yang meningkat melebihi 100 peratus jika diambil menerusi jumlah undi diperoleh Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Jadi tidak hairanlah, PN Negeri Sembilan menerusi Pengerusinya, Datuk Eddin Syazlee Shith menyatakan bahawa gabungan parti itu mempunyai kelebihan malah mampu memenangi sehingga 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berdasarkan sentimen pengundi ketika ini.
Jumlah kerusi tersebut cukup untuk membentuk kerajaan negeri yang mempunyai keseluruhan 36 kerusi DUN keseluruhannya.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan berkata, perkara itu sememangnya tidak mustahil untuk PN menafikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN akan datang.
“Di Negeri Sembilan, undi pengundi muda pada PRU15 termasuk yang berusia 30 hingga 40 tahun banyak nampak kepada PN. Jika sentimen sekarang masih konsisten, mereka pasti akan undi parti yang sama.
“Bagaimanapun, situasi tersebut boleh menjadi sebaliknya dan bergantung kepada BN untuk memuktamadkan kerjasama antara parti itu dengan PH dalam konteks Negeri Sembilan bagi menghadapi PRN kelak.
“Prestasi Kerajaan Perpaduan ketika ini dan prestasi kerajaan negeri juga menjadi penentu. 100 hari pertama akan jadi waktu kritikal buat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan prestasi mereka beri kesan kepada corak pengundian pada PRN nanti,” katanya.
Di Negeri Sembilan, PH membentuk kerajaan pada PRU14 selepas memenangi 20 kerusi DUN dari 36 kerusi secara keseluruhan manakala baki 16 kerusi lagi dimenangi BN.
Ariff Aizuddin berkata, dalam tempoh berbaki tujuh bulan, BN dan PH dijangka membentuk kerjasama untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRN akan datang.
“Saya jangka formula kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan juga digunakan bagi menghadapi PRN tidak terkecuali di Negeri Sembilan.
“Ia penting demi elakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru. Saya fikir PH dan BN juga tahu, jika mereka bergerak solo pasti beri kelebihan kepada PN untuk menafikan mereka. Jalan terbaik, PH dan BN perlu memuktamadkan kerjasama dalam PRN secepat mungkin,” katanya.
Sebagai rekod, keputusan bagi lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan pada PRU15 lalu menyaksikan PN mendapat sebanyak 144,935 undi daripada keseluruhan 850,865 pemilih berdaftar yang mengambil bahagian.
Melainkan di kerusi Parlimen Seremban, PN mendapat undi ketiga tertinggi di kesemua ketujuh kerusi Parlimen yang lain iaitu di belakang BN dan juga PH. – UTUSAN










