PKR, PH gadai prinsip demi kuasa - Hassan - Utusan Malaysia

PKR, PH gadai prinsip demi kuasa – Hassan

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan pelantikan barisan Kabinet kerajaan perpaduan yang turut melibatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebagai tindakan menggadai prinsip dan perjuangan demi kuasa.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor meluahkan perkara tersebut menerusi puisi bertajuk ‘Ku Simpan Risalah Reformasi Di Dalam Peti’.

Beliau jelas kecewa dengan tindakan PKR dan Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berulang kali memberikan jaminan kepada pengundi bahawa beliau tidak akan menggadai prinsip demi kuasa.

“Maka, aku pun percaya, lalu aku kumandangkan suara keyakinanku ke setiap penjuru tanah air tercinta ini, ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah ke tanah datar aku berbicara.

“Bahawa hidup ini hanya sekali, maka marilah kita rakyat marhaen, warga bawahan rakyat jelata, demi keadilan kita bersama, aku seru kita bawa perubahan hakiki yang kita panggil reformasi,” tulisnya dalam puisi tersebut.

Hassan juga mengungkap rasa malunya dan mengambil keputusan untuk menyimpan semua ucapan dan tulisannya yang mempromosi reformasi, merujuk slogan politik Anwar sepanjang dua dekad melawan kerajaan diterajui UMNO.

“Kini aku malu pada diri sendiri, aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi, separuh jiwaku telah mati, aku merasa tewas, ketika menang tanpa integriti seperti ini,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa supaya Perdana Menteri ke-10 itu berlaku jujur ‘di luar dan dalam hati’.

“Apakah benar, yang lurus itu dakwah, politik ini bengkang bengkok rupanya. Naif sungguh aku ini, lurus bendul selama ini. Setelah terbangun daripada mimpi, aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku,” katanya lagi secara berkias dalam puisi tersebut.

Hassan sebelum ini merupakan wakil rakyat PKR yang lantang dan tidak bersetuju kluster mahkamah dilantik dalam Kabinet kerajaan baharu.

Jumaat lalu, Anwar mengumumkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun Presiden UMNO itu berdepan 47 pertuduhan rasuah dan pecah amanah melibatkan jutaan ringgit.

Terdahulu, ketika berkempen dalam PRU15, Anwar beberapa kali mengulangi pendirian bahawa kerajaan yang dibentuknya tidak akan memasukkan ahli politik yang terpalit skandal.

Walau bagaimanapun, tindakan melantik Ahmad Zahid dalam Kabinet telah mencetus kemarahan sebahagian ahli politik PH dilihat terpaksa mempertahan keputusan itu, mengatakan lantikan Presiden UMNO adalah perlu untuk membentuk kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN