Perkasa Sekolah Wawasan pupuk perpaduan kaum

Perkasa Sekolah Wawasan pupuk perpaduan kaum

KPM menetapkan sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 bermula pada 19 Mac 2023 (Kumpulan A) dan 20 Mac 2023 (Kumpulan B).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekolah wawasan yang diperkenal semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat pada 1997 perlu ditambah dan dijadikan antara agenda utama Kerajaan Perpaduan.

Konsep yang menyatukan sekolah pelbagai aliran dalam satu kawasan itu dilihat sangat tepat untuk memupuk perpaduan antara kaum kerana saling berkongsi kemudahan dan infrastruktur sekolah termasuk kantin, padang serta perpustakaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, pemerkasaan Sekolah Wawasan adalah satu pendekatan yang patut digalakkan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, Kementerian Pendidikan wajar melihat semula konsep itu ekoran sentimen perkauman yang semakin menebal dalam masyarakat pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diburukkan dengan provokasi menerusi media sosial.

Beliau berkata, ini kerana apa sahaja langkah untuk meningkatkan perpaduan terutama di peringkat bawah sangat wajar diambil.

“Ini bukan saja untuk perpaduan antara pelajar dan pendidik, tetapi perpaduan atau kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan.

“Latar belakang (sekolah wawasan) adalah dengan dukungan dari sektor swasta (menyokong) kepakaran dan kemudahan prasarana yang diperlukan di sekolah itu supaya mencukupi agar dapat dinikmati semua bangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Melalui konsep itu, sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil ditempatkan dalam satu kompleks sekolah yang sama.

Sehingga kini, terdapat kira-kira lima kompleks sekolah wawasan dengan dua daripadanya terletak di Perak manakala tiga lagi beroperasi di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, pihaknya bagaimanapun khuatir Sekolah Wawasan menghasilkan mentaliti elit berbanding murid-murid di sekolah yang lain.

Katanya, kemudahan dan kepakaran di sekolah tersebut lebih diberi tumpuan daripada sektor swasta kerana kerjasama dengan sektor itu adalah membantu sekolah berkenaan bertaraf terbaik berbanding sekolah lain.

“Justeru, apa salahnya kalau konsep Sekolah Wawasan itu ditumpukan kepada SK. Bagi saya kalau semua pihak menggembleng untuk memperkasa dan menghebatkan SK sahaja, itu sudah mencukupi.

“Kalau kita meningkatkan kepakaran dan kemudahan serta memberi ruang dan peluang untuk (murid-murid) belajar bahasa-bahasa lain di SK, maka tak perlu sekolah lain.

“Sekiranya SK diperkasa termasuk dukungan sektor swasta, maka tak perlu sekolah vernakular yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, pendidikan adalah satu alat penyatuan masyarakat yang perlu dijadikan panduan tidak kira negara mana sekali pun.

“Satu sistem pendidikan baharu yang merangkumi kepentingan semua pihak perlu dirangka. Ia perlu lebih terarah kepada satu bentuk pendidikan yang selaras (untuk semua kaum), tetapi dalam masa sama memberi ruang untuk setiap kumpulan mempromosikan sistem pendidikan (kaum masing-masing).

“Jadi di situ ada give and take, pendidikan arus perdana itu ada tetapi tetap benarkan subjek lain seperti Mandarin atau agama untuk murid-murid yang mahu belajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN