Penghantar barang mengaku tak bersalah culik, cederakan seorang lelaki - Utusan Malaysia

Penghantar barang mengaku tak bersalah culik, cederakan seorang lelaki

WONG Yu Yang (depan) dan Tan Jun Xian ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan menculik dan mencederakan seorang lelaki baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki yang bekerja sebagai penghantar barangan di sebuah syarikat pengurusan kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menculik dan mencederakan seorang lelaki, kira-kira seminggu lalu.

Tertuduh, Wong Yu Yang, 26, dan Tan Jun Xian, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama dalam Bahasa Hokkien di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap Low Chong Yeow, 31, di Jalan Kelasah, Seberang Jaya, dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada 20 Disember lalu, kira-kira pukul 3 petang.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh dengan niat telah menculik Chong Yeow dan menyebabkan mangsa dikurung dengan sulit dan salah di lokasi dan masa yang sama seperti pertuduhan pertama.

Sehubungan itu, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Yu Yang turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu melakukan pemerasan hingga mendatangkan ketakutan kepada Chong Yeow bahawa satu bencana iaitu ancaman mendatangkan kecederaan akan berlaku kepada mangsa kira-kira pukul 4 petang pada 20 Disember lalu di Persiaran Sembilang, Seberang Jaya di sini.

Pertuduhan itu membolehkan dia dihukum di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Pang Chuin Keat.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Sementara itu, bagi pertuduhan melakukan pemerasan pula, wang jaminan tambahan sebanyak RM5,000 ditetapkan terhadap Yu Yang.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh mematuhi syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa sepanjang kes berjalan atau jika ingkar, jaminan yang dikenakan terhadap mereka boleh ditarik balik.

Kes akan disebut semula pada 28 Februari depan sementara menunggu laporan perubatan dan proses serahan dokumen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya