Penduduk Tasek Bakong gotong-royong bina PPS sendiri

Penduduk Tasek Bakong gotong-royong bina PPS sendiri

PENDUDUK bergotong-royong menyiapkan PPS untuk berlindung semasa banjir di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang, Kelantan hari ini.UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Penduduk Kampung Tasek Bakong di sini nekad bergotong-royong membina  pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persediaan menghadapi musim banjir gelombang kedua yang dijangka berlaku pada bila-bila masa bermula sekarang.

Tindakan itu diambil selepas mereka ‘trauma’ apabila beberapa PPS di Surau Kampung Bakong dan Masjid Padang Licin di sini sudah tidak mampu untuk menampung pertambahan jumlah mangsa yang makin meningkat.

Wakil penduduk Mohammad Kamarulzaman Daud, 37, berkata, pembinaan PPS itu menggunakan sepenuhnya wang hasil sumbangan masyarakat setempat  yang bekerja sebagai penoreh getah dan nelayan darat.

Menurutnya, setakat ini sebanyak RM4,000 sudah dibelanjakan bagi membeli peralatan bagi membina PPS tersebut.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 untuk menyiapkan keseluruhan PPS ini. Apabila siap nanti ia dijangka mampu menempatkan sekurang-kurangnya 20 keluarga mangsa banjir.

“Sebagai wakil penduduk, kami berterima kasih kepada pemilik tanah kerana memberi kebenaran untuk membina PPS di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohammad Kamarulzaman memberitahu, mereka berharap PPS tersebut mampu disiapkan dalam tempoh yang terdekat memandangkan cuaca tidak menentu ketika ini.

Sementara itu, Zakaria Mohamad, 58, memberitahu mereka nekad menyiapkan PPS tersebut sebelum banjir melanda.

Katanya, dia berharap PPS itu mampu menjadi tempat untuk mereka ‘berlindung’ sepanjang musim banjir nanti.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun CIMB 7611240608 Mohd Mansur Ibrahim atau hubungi 014-8121223. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya