PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah meninggalkan parti itu sebagai langkah tepat.
Katanya, walaupun keputusan itu sukar, ia tetap perlu dilakukan demi masa depan Sabah dan kepentingan rakyat di negeri berkenaan.
“Keputusan yang tepat diambil oleh pemimpin-pemimpin Sabah. Keputusan yang sukar namun tetap dilakukan demi masa depan negeri dan kepentingan rakyat,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Bersatu Sabah dilaporkan lumpuh apabila semua wakil rakyatnya keluar parti berkuat kuasa hari ini.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbang landskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.
Hajiji, yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, semua bekas ahli Bersatu termasuk beliau akan menubuhkan sebuah parti tempatan baharu tetapi buat masa ini akan menjadi ahli GRS. – UTUSAN










