Pelan tangani kesesakan di Jabatan Kecemasan, Trauma dirangka

Pelan tangani kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma dirangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan merangka pelan dan perancangan bagi menangani kesesakan di hospital terutamanya di Jabatan Kecemasan dan Trauma dalam usaha memberikan perkhidmatan efisien.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya memandang serius masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital-hospital yang kini kembali selepas situasi Covid-19 dilihat kian reda. 

Sehubungan itu, katanya, kementerian secara konsisten berusaha mengatasi masalah kesesakan dengan mengadakan perbincangan dan memohon keperluan dana serta petugas tambahan bagi mengatasi masalah peruntukan, kekurangan petugas, peralatan dan infrastruktur.

Ujarnya, kementerian juga sedang melihat kepada semua data terkini, audit dan penyelidikan berkaitan bebanan tugas serta isu kesesakan Jabatan Kecemasan dan Trauma di seluruh negara khususnya di hospital pakar bagi membolehkan punca dan masalah terkini dihadapi jabatan berkenaan dikenal pasti.

“Usaha untuk mengatasi isu ini perlulah melibatkan pelbagai pihak dan pemegang taruh.

Contohnya, bagi mengetahui masalah dan keperluan khusus mengikut negeri masing-masing,

Kementerian akan lakukan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan yang relevan antaranya pihak Jabatan Kecemasan sendiri, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan sektor swasta.

“Ini amat penting kerana pendekatan yang lebih holistik perlu diambil bagi menangani isu ini berdasarkan data dan maklumat yang lebih spesifik. 

“Dalam masa sama, pelbagai inisiatif juga telah dilaksanakan oleh kementerian bagi meningkatkan kecekapan pengendalian pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zaliha, kesesakan Jabatan Kecemasan dan Trauma telah dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara pada 2018 yang disiarkan pada 24 Jun 2019 menyatakan punca dikenal pasti menyumbang kepada kesesakan di jabatan itu adalah daripada peruntukan tidak mencukupi, kekurangan anggota kesihatan dan fasiliti bagi menampung keperluan perkhidmatan kepada para pesakit.

Namun, katanya, isu tersebut juga berlaku di negara lain dengan International Federation of Emergency Medicine (IFEM) memaklumkan sebanyak 100 peratus daripada 41 negara anggotanya melaporkan fenomena tersebut di jabatan kecemasan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau menambah, kementerian juga mahu melihat potensi kerjasama strategik bersama sektor swasta termasuk Pengamal Perubatan Am (GP) bagi memperkasakan lagi penjagaan kesihatan primer.

“Dengan kerjasama tersebut, ia dilihat mampu mengurangkan kehadiran pesakit ke Jabatan Kecemasan dan Klinik Kesihatan. Suka juga untuk kementerian ingatkan kepada semua pihak bahawa fungsi Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah untuk memberi rawatan kepada individu benar-benar memerlukan rawatan kecemasan.

“Justeru, kementerian kan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk melipatgandakan lagi kempen kesedaran kepada masyarakat tentang fungsi sebenar Jabatan Kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, segala pelan dan perancangan itu bukanlah untuk tindakan jangka pendek, sebaliknya perancangan jangka panjang. 

Katanya, ia selaras dengan perkara utama Kertas Putih Kementerian Kesihatan yang bertujuan untuk memperkasa dan mereformasikan perkhidmatan kesihatan di negara ini.

“Saya secara peribadi mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang bertungkus lumus memberikan perkhidmatan terbaik. 

“Kementerian Kesihatan sentiasa peka dengan masalah yang berlaku dan kami akan terus mencari jalan demi kebaiikan dan kesihatan mental warga kementerian,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya