Pegawai bank nafi hilang objektif walaupun berkawan dengan Jho Low - Utusan Malaysia

Pegawai bank nafi hilang objektif walaupun berkawan dengan Jho Low

jho low
Jho Low
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai bank menafikan bahawa dia hilang objektif dan bersikap tidak profesional walaupun berkawan dengan Low Taek Jho atau Jho Low dan pernah menawarkan lelaki berkenaan sup ketika ahli perniagaan dalam buruan itu tidak sihat.

Menurut bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, sebagai pegawai bank mereka akan memanggil pelanggan mereka sebagai kawan dan akan berurusan dalam keadaan yang baik.

Selain itu, tindakannya sering ke pangsapuri Jho Low adalah bagi meminta lelaki berkenaan melunaskan bayaran balik pinjaman yang diberikan kepada syarikat Jho Low, Majestic Masterpiece Sdn. Bhd. (Majestic).

“Pembayaran balik pinjaman tertunggak. Apabila saya meminta bayaran, Jho Low selalu tiada di Malaysia atau tidak mahu berjumpa dengan saya. Jadi saya ambil peluang untuk meminta bayaran balik apabila ke pangsapurinya,” katanya ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee: Tetapi ada satu ketika Jho Low sakit dan awak masakkan sup untuknya.

Ging Ping: Saya ada mencadangkan kepadanya saya boleh buat sup untuknya, tetapi saya tidak masak. Kalau seseorang sakit, kita biasanya akan tawarkan (untuk bawakan sup).

Muhammad Shafee: Bank saya tak pernah tawarkan saya sup dan saya tinggal bertentangan dengan bank saya.

Ging Ping: Mungkin ia naluri keibuan saya. Saya tiada niat lain. Saya akan membantu sesiapa sahaja.

Muhammad Shafee: Awak biarkan diri awak rapat dengannya (Jho Low) dan awak hilang objektif?

Ging Ping: Tidak.

Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata demikian dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Terdahulu, Ging Ping mempercayai bahawa terdapat ‘tangan ghaib’ yang telah menyebabkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) mengalami kerugian RM700 juta, 13 tahun lalu.

Saksi itu bagaimanapun hanya menyedari perkara tersebut selepas peguam terbabit menunjukkan senarai syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan Jho Low dan terlibat dalam pembelian Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang diterbitkan oleh TIA.

TIA diwujudkan pada tahun 2009 bagi merancang pembangunan di negeri Terengganu, kemudian dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan ditukarkan kepada (1MDB) pada 25 September tahun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN