PARLIMEN Padang Serai yang menjadi kerusi ke-222 untuk ditentukan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok, menjadi lapangan sulung untuk mengukur tahap kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Persetujuan BN memberi laluan kepada PH untuk bertembung secara ‘empat mata’ dengan Perikatan Nasional (PN) menjadi titik tolak kepada kesinambungan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Kelmarin, buat pertama kali, calon BN Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj tampil sepentas dengan calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak dan pimpinan lain selepas memeterai kerjasama.
Kemunculan bersama-sama itu sudah pasti amat penting untuk memberitahu penyokong mereka bahawa PH-BN kini sudah bersama dan pengundi hanya perlu memberi undi kepada PH seperti yang dipersetujui.
Sekiranya PH memenangi pilihan raya itu, ia bukan sekadar hadiah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi petanda jelas kemungkinan kerjasama yang perlu dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tahun depan.
Apatah lagi, skrip PRU15 bagi kerusi Parlimen di Kedah yang menyaksikan PN menyapu hampir bersih dalam keputusan pada 19 November lalu mewajarkan perbincangan ke arah kerjasama berkenaan.
Kerusi tunggal dijuarai PH di Parlimen Sungai Petani juga tidak boleh terlalu dibanggakan kerana majoriti diperoleh hanya 1,115 undi.
Justeru, kehadiran beberapa pemimpin utama kedua-dua gabungan dalam ceramah dan siri-siri kempen sejak kelmarin juga dilihat sebagai pecutan akhir untuk merungkai kekeliruan dalam kalangan pengundi mereka bagi tempoh 24 jam terakhir menjelang hari mengundi.
Namun, faktor masa dikatakan menjadi cabaran terbesar kepada kedua-dua gabungan itu terutamanya BN untuk mengajak pengundinya memberi undi kepada PH kerana pengumuman memberi laluan diadakan hanya beberapa hari sebelum tarikh mengundi, 7 Disember.
Ia ditambah lagi dengan tarikh pengundian yang jatuh pada hari Rabu turut menjadi cabaran bukan sahaja kepada PH tetapi kesemua calon yang bertanding. Ketiadaan cuti khas atau hari kelepasan am itu membimbangkan calon terhadap peratusan keluar mengundi.
Pada PRU14, PH yang bertanding di bawah logo PKR berjaya mengekalkan Parlimen Padang Serai buat kali ketiga berturut-turut apabila penyandangnya, mendiang M. Karupaiya mendapat 31,724 undi.
Lawannya daripada Pas, Muhamad Sobri Osman memperoleh 22,911 undi, manakala BN yang mempertaruhkan Datuk Dr. Leong Yong Kong menerima 15,449 undi sekali gus membolehkan Karupaiya selesa dengan 8,813 undi majoriti.
Kali ini, seramai seramai 133,867 orang pemilih yang terdiri daripada 133,776 orang pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara akan terlibat dalam PRU15.
Pengundian di kawasan itu ditangguhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kematian Karupaiya pada 16 November lalu iaitu tiga hari sebelum hari mengundi akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Kulim. – UTUSAN










