Najib tak jumpa orang macam saya - Saksi - Utusan Malaysia

Najib tak jumpa orang macam saya – Saksi

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai bank memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini bukanlah sesuatu perkara yang pelik untuk seseorang seperti Datuk Seri Najib Tun Razak melantik seseorang sebagai pemegang amanah akaunnya.

Jelas bekas Pegawai Perhubungan Ambank, Joanna Yu ging Ping, ini kerana sebagai Perdana Menteri, bekas Ahli Parlimen Pekan itu semestinya sibuk dan tiada masa untuk bertemu dengan ‘orang kebanyakan’ sepertinya.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-41 itu memberitahu perkara tersebut hanyalah tanggapannya sahaja memandangkan Najib merupakan seorang individu yang dipenuhi protokol dan mengikut protokol, hanya pegawai atasan sahaja yang boleh bertemu tertuduh.

“Saya tidak fikir beliau (Najib) akan jumpa orang seperti saya.

“Oleh itu saya sering berurusan dengan Pengarah Urusan Kumpulan Ambank (ketika itu), Cheah Tek Kuang Chia dan Jho Low,” jelasnya.

Terdahulu Ging Ping ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa sepanjang pengalamannya bekerja dalam sektor perbankan, Najib merupakan satu-satunya akaun yang diuruskannya dan melantik pemegang amanah bagi akaun tersebut.

Ini kerana, ketika dia menyemak keperluan pelantikan pemegang amanah, pelantikan hanya dibuat dibuat bagi individu yang sudah tua dan tidak mempunyai keupayaan.

Wanita itu berkata demikian ketika disoal balas oleh Muhammad Shafee berhubung tindakannya yang tidak berusaha berjumpa atau menghubungi Najib bagi mengesahkan transaksi-transaksi membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Selain itu, Ging Ping mengesahkan bahawa dia pernah mendapat arahan agar kesemua penyata akaun kad kredit Najib tidak dihantar ke Pejabat Perdana Menteri.

Saksi itu bagaimanapun tidak menyatakan daripada siapa arahan itu diterima.

Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 27 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN