NAFAS ‘tenat’, harga baja padi naik 300 peratus

NAFAS ‘tenat’, harga baja padi naik 300 peratus

ZAMRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) semakin tenat apabila organi­sasi tersebut perlu menampung kenaikan harga baja padi yang meningkat sehingga 300 peratus sekali gus membantutkan usaha ternakan ayam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP), Datuk Zamri Yaakob berkata pihaknya amat memerlukan sokongan kewa­ngan daripada kerajaan susulan peningkatan kos itu.

“Kita terpaksa menghentikan buat sementara waktu usaha kita berkaitan ternakan ayam itu kerana kita sedang menampung beban kewangan yang sangat tinggi untuk menyediakan baja padi kepada golongan petani.

“Kenaikan harga baja padi adalah sehingga 300 peratus itu bermaksud contoh pada 2021, harga baja itu adalah RM1,000 setan, pada 2022, harganya meningkat hingga RM4,000 setan.

“Kita sudah menggunakan simpanan bank NAFAS untuk memastikan kita dapat menyediakan baja kepada petani dan kini berharap pada kerajaan untuk membantu kita,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada Jun 2021, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, NAFAS dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) akan lebih proaktif dalam ekosistem ternakan ayam dan penanaman jagung bijirin bagi menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran.

Katanya, NAFAS menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala Angkasa sebanyak 30 juta ekor setahun.

Tambah Zamri, NAFAS telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1.268 bilion sejak memperoleh tender pada tahun 2021.

“Kontrak kita masih berbaki sehingga 2023 dan kita mencari rakan usaha sama bagi menguruskan isu kenaikan harga baja serta penternakan ayam.

“Saya akan berjumpa dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu tidak lama lagi dan saya harap ia akan membuahkan hasil untuk kita teruskan usaha-usaha yang kita rancang untuk laksana,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN