KEMBALI mewarnai hujung minggu penonton, musim kedua program Famili Duo tampil lebih menyengat dengan modul dan konsep baharu.
Masih mengekalkan pasangan selebriti yang mempunyai pertalian darah sebagai peserta, bagaimanapun penyertaan beberapa nama menimbulkan tanda tanya.
Contohnya gandingan Naim Danial dan Sissy Iman yang merupakan sepupu jauh, manakala Siti Sairah dan Zaki Yamani pula pernah menjadi peserta program tersebut.
Bertanyakan hal itu kepada pengurus projek, Muhammad Sufian Che Isa, 51, berkata, musim terbaru Famili Duo menyaksikan olahan konsep yang lebih serius dengan menampilkan peserta yang memiliki kualiti dan tidak terarah pada pencarian vokal semata-mata.
“Famili Duo bukan lagi pertandingan santai kerana juara mingguan akan membawa pulang RM10,000, manakala juara keseluruhan berpeluang meraih RM100,000.
“Namun, kami tidak mencari peserta yang hanya hebat dari segi vokal semata-mata. Kami mahu mencari persembahan yang ada kualiti dan menghiburkan.
“Setiap peserta pula perlu mempunyai pertalian darah kerana ia fokus utama program ini. Kami sedar, tidak ramai selebriti yang mempunyai pertalian darah dan itu cabaran untuk mendapatkan peserta.
“Bagaimanapun, semua peserta untuk musim terbaru ini telah kami periksa latar belakang mereka dan semuanya ada pertalian darah. Tidak timbul isu tangkap muat semata-mata untuk melengkapkan senarai peserta. Semuanya memang ada pertalian darah, sama ada adik-beradik atau sepupu,” katanya.
Tambah Sufian, peserta diberi kebebasan mempamerkan kreativiti masing-masing dalam persembahan kerana setiap aspek diambil kira.
“Mereka bebas memilih genre lagu untuk dipersembahkan dan mencorakkan kreativiti ‘bermain’ dengan pentas. Semua itu ada markah dan diambil kira. Musim ini juga menyaksikan tiada penyingkiran dibuat untuk memberi peluang kepada peserta memperbaiki kelemahan.
“Namun, peserta dalam kedudukan bahaya jika berada pada tiga tangga terbawah kerana hanya empat pasangan akan mara ke pentas akhir,” katanya.
Kongsi Sufian, Famili Duo musim kedua juga menampilkan peserta yang sudah diketahui kemampuan mereka.
“Memang susah untuk mendapatkan pasangan selebriti yang mempunyai pertalian darah. Ada yang berminat, tetapi disebabkan komitmen lain, peluang itu terpaksa dilepaskan.
“Mungkin untuk musim seterusnya mereka berminat dan siapa tahu, barangkali pasangan peserta suami isteri pula yang akan ambil bahagian,” katanya.
Konsep penjurian berbeza
Sementara itu, juri tetap, Ajai, mengakui konsep penjurian untuk musim terbaru turut berbeza. Kata Ajai, dia bersama Mas Idayu tidak mahu memfokuskan kepada peserta yang hanya berkebolehan menyanyikan lagu bernada tinggi.
Akur aspek vokal memainkan peranan penting, Ajai bagaimanapun tidak mahu memberi tekanan kepada peserta memandangkan banyak aspek lain boleh diteroka untuk meraih markah selesa.
“Famili Duo bukan program santai, malah kami akan pastikan ia mempunyai nilai tarikan. Dari segi penjurian, saya dan Mas Idayu tidak mahu terlalu fokus kepada mereka yang mampu membawa lagu bernada tinggi semata-mata.
“Itu mentaliti kebanyakan penonton sekarang, sedangkan ia tidak mencerminkan seseorang penyanyi itu bagus. Cara nyanyian sudah lain, tetapi tidak semestinya kena bawakan lagu bernada tinggi.
“Sekiranya mereka mampu membawakan lagu bernada rendah dengan baik, itu boleh dianggap bonus. Kita mahu peserta yang kreatif di atas pentas. Sebagai juri, kita turut menilai usaha mereka,” katanya.
Sementara itu, Mas Idayu pula mahu melihat setiap peserta menyerlahkan kekuatan dan aura tersendiri dalam persembahan.
Katanya, kebolehan setiap peserta dalam bidang nyanyian tidak perlu dipertikaikan, apatah lagi mereka terdiri daripada penyanyi profesional.
Namun, apa yang membezakan ialah bagaimana mereka mengolah dan bermain dengan kreativiti ketika pertandingan.
“Semua peserta yang masuk program ini bagus, malah ada yang dikenali sebagai guru vokal. Tetapi, itu bukan jaminan mereka boleh membawakan sesuatu lagu dengan baik. Kalau tidak, semua orang boleh jadi juara.
“Apa yang saya mahu tengok adalah kebijaksanaan mereka bermain dengan setiap sudut persembahan. Tentang keserasian, saya dan Ajai ada nampak beberapa peserta yang menyerlah dari aspek ini.
“Tetapi, kami perlu tengok keseluruhan persembahan pada setiap minggu,” katanya.
Famili Duo musim baharu menampilkan tujuh pasangan selebriti terdiri daripada Ara Johari & Shaffiq Erwin (sepupu), Ayda Jebat & Fyna Jebat (adik-beradik), Bella Astillah & Wani Kayrie (sepupu) dan Sabhi Saddi & FareedPF K-Clique (adik-beradik).
Turut berentap ialah pasangan Sissy Imann & Naim Daniel (Sepupu), Siti Sairah & Siti Saida (adik-beradik) dan Osama Yamani Abdillah & Zaki Yamani (adik-beradik).
Menampilkan Janna Nick dan Sean Lee sebagai pengacara, Famili Duo akan bersiaran pukul 9 malam di TV3 setiap Ahad bermula 18 Disember ini. Porgram ini juga boleh distrim secara langsung di www.tonton.com.my.











