MIC dakwa Dewan Tertinggi BN tidak luluskan syarat MoU Kerajaan Perpaduan

Dewan Tertinggi BN tidak luluskan syarat MoU Kerajaan Perpaduan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), MIC mendakwa, syarat-syarat yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan tidak pernah dibincangkan mahupun dipersetujui Dewan Tertinggi BN.

Pengamal undang-undang, RT Rajasekaran berkata, selepas mesyuarat terakhir pada 22 November lalu, Dewan Tertinggi BN tidak pernah memanggil sebarang mesyuarat untuk membuat keputusan secara bersama.

Menurut beliau, di bawah Perlembagaan BN, Pengerusi BN tidak boleh dan tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan ahli Parlimen BN tanpa berunding dengan parti komponen dalam BN.

Katanya, ini juga terpakai kepada Akuan Berkanun (SD), yang kononnya ditandatangani oleh ahli Parlimen BN sebelum Pilihan Raya Umum, SD tidak pernah disahkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi BN.

“Saya juga percaya bahawa tidak semua ahli Parlimen BN telah menandatangani SD.

“Saya membangkitkan isu SD di sini, sekiranya terdapat hujah balas bahawa Pengerusi BN telah diberikan kuasa tanpa had di bawah SD tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam dokumen perjanjian Kerajaan Perpaduan yang dimeterai antara lima gabungan politik, kelmarin antara syaratnya ialah mengikat mana-mana Ahli Parlimen yang gagal, enggan dan cuai untuk mengekalkan keabsahan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian di Parlimen perlu mengosongkan kerusi mereka serta-merta.

Dokumen itu antara lain menjelaskan setiap parti gabungan hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan keabsahan Kerajaan Persekutuan.

Setiap parti juga hendaklah bertanggungjawab menguruskan secara dalaman bagi memastikan sokongan Parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian.

Dalam pada itu, Rajasekaran yang juga pengamal undang-undang mendakwa, sehingga hari ini beliau tidak percaya mana-mana parti komponen diberikan salinan SD yang telah mereka laksanakan sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana Pengerusi BN melaksanakan MoU tanpa mendapat kelulusan Dewan Tertinggi.

Selain itu, beliau juga percaya parti komponen mahupun ahli Dewan Tertinggi BN tidak diberi salinan MoU untuk disemak dan memberi pendapat mereka tentang syarat perjanjian.

“Jelas sekali, MoU itu tidak boleh dan tidak boleh mengikat mana-mana ahli Parlimen sekiranya Dewan Tertinggi BN tidak mengesahkan perjanjian tersebut.

“Ia juga tidak sesuai dengan tugas mana-mana ahli Parlimen untuk mengikat diri mereka dengan kerajaan ini tanpa terlebih dahulu mengambil kira kepentingan terbaik pengundi mereka,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana jika dasar kerajaan tidak selaras dengan objektif dan prinsip setiap parti komponen dalam BN.

Soal beliau, bagaimana pula sekiranya setiap ahli Parlimen tidak memutuskan apa-apa dasar dan undang-undang tertentu berdasarkan kesedaran dan kepentingan terbaik mereka untuk pengundi mereka.

“Nampaknya tidak kira betapa teruknya dasar kerajaan atau betapa tidak popular atau tidak adilnya kerajaan, ahli Parlimen perlu menyokong kerajaan kerana takut kehilangan kerusi mereka.

“Saya percaya ini bukan objektif undang-undang anti lompat parti yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu, ” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya