Melaka cadang Puspakom dibuka di Jasin

Melaka cadang Puspakom dibuka di Jasin

RAHMAD Mariman (kiri) mendengar penerangan Ooi Win Juat ketika mengadakan lawatan kerja di Puspakom Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

ALOR GAJAH: Kerajaan negeri mencadangkan sebuah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dibuka di Jasin dekat sini, bagi memudahkan penduduk di sekitar daerah itu mendapatkan perkhidmatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Melaka, Datuk Rahmad Mariman berpandangan, orang ramai mengalami kesukaran untuk menghantar kenderaan mereka di lokasi sedia ada iaitu di Puspakom Alor Gajah, Rembia di sini kerana faktor jarak yang agak jauh.

“Ada cadangan untuk buat (buka) pusat pemeriksaan baharu di Melaka. Contohnya di kawasan yang agak jauh iaitu di sebelah Jasin. 

“Itu hanya cadangan kami dan insya-Allah harap ia akan dapat dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Puspakom Alor Gajah hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Mohamad Firdaus Shariff dan Ketua Jabatan Penasihat dan Pemasaran Puspakom, Datuk Ooi Win Juat.

Dalam pada itu, mengenai cadangan berkenaan, Win Juat berkata, perkara tersebut memerlukan perbincangan lebih lanjut bersama pihak pengurusan.

“Kami perlu membuat penilaian dan kajian daripada pelbagai sudut seperti statistik mengenai keperluan, jumlah kenderaan dan sebagainya sebelum cadangan itu dimuktamadkan,” katanya. –UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN