PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama pemegang taruh akan meneliti untuk memperkemaskan lagi prosedur operasi standard (SOP) akses telekomunikasi sedia ada di kawasan bencana.
Menurut Jabatan Komunikasi Korporat SKMM, dalam situasi bencana seperti ini, komunikasi adalah keperluan terpenting kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bagi memastikan koordinasi antara pasukan dan agensi yang terlibat di lokasi bencana dilaksanakan secara efektif.
Katanya, selain keutamaan kepada SAR, pengamal-pengamal media yang bertungkus-lumus di lapangan juga memerlukan komunikasi yang terbaik bagi melaporkan situasi dan perkembangan terkini melalui platform berita dan media masing-masing.
“Pihak SKMM cakna saranan Menteri Komunikasi dan Digital (Fahmi Fadzil) berkaitan SOP akses telekomunikasi di kawasan bencana.
“MCMC akan meneliti bersama pemegang taruh untuk memperkemaskan lagi SOP sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lepas, Fahmi Fadzil mengarahkan, SKMM serta syarikat telekomunikasi diminta segera mewujudkan satu SOP akses telekomunikasi di kawasan bencana.
Ia susulan jaringan telekomunikasi di lokasi runtuhan tanah di Father’s Organic Farm menjadi isu pada hari pertama sehingga menyukarkan komunikasi di tempat kejadian.
Berhubung isu berkenaan, Jabatan Komunikasi Korporat SKMM berkata, pelbagai cabaran dihadapi dalam memberikan perkhidmatan di lokasi tapak bencana, antaranya ketiadaan bekalan elektrik, bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan jarak pemancar penyedia perkhidmatan masing-masing.
Katanya, ini secara tidak langsung menyebabkan teknologi seperti gelombang mikro tidak dapat digunakan kerana ketiadaan Line Of Sight (LOS).
“SKMM menggerakkan Emergency Disaster and Response Team (EDRT) pada Jumaat lepas dengan mengarahkan penyedia perkhidmatan utama TM, Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile untuk segera menganalisa dan menggerakkan aset-aset komunikasi di tempat kejadian.
“Selain itu, pihak MCMC telah meminta bantuan dari pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Malaysian Amateur Radio Emergency Service (MARES) bagi menyediakan komunikasi alternatif dengan menggunakan teknologi radio amatur bagi kegunaan para penyelamat berhubung secara pantas. Mereka telah tiba lebih awal pada hari tersebut di tempat kejadian bencana bagi membantu agensi-agensi lain menyelamatkan mangsa-mangsa,” katanya.
Jabatan Komunikasi Korporat SKMM menambah, Pihak TM juga telah dengan segera menyediakan tindakan alternatif dengan menarik dan menyediakan kabel gentian optik sejauh dua kilometer (km) dari Nod Awana Genting dan penyediaan MoVIC (sel IP boleh alih) TM di tapak bencana.
Katanya, ia seterusnya membolehkan teknologi Multi Operator Core Network (MOCN) digunakan oleh penyedia perkhidmatan dan memberikan liputan bagi rangkaian masing-masing.
“Pada seawal pukul 3 pagi, Sabtu, kemudahan komunikasi telah disediakan di tapak bencana, semua penyedia perkhidmatan terlibat berjaya memberikan perkhidmatan masing-masing melalui Coverage on Wheels (COW) dalam memberikan kualiti perkhidmatan komunikasi kepada misi SAR dan pengamal-pengamal media di tapak bencana.
“Pemantauan MCMC mendapati kesemua penyedia perkhidmatan telah berjaya mencapai kualiti liputan selular yang amat baik melebihi 50Mbps.
“Selain itu pihak TM juga telah menyediakan perkhidmatan Unifi wifi percuma berkelajuan 800Mbps di khemah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) , Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) operasi SAR.
“Manakala satu Access Point sama juga telah diletakkan di Trak Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selaku penyelaras kepada pengamal-pengamal media,” katanya. – UTUSAN










