Malaysia gembira PBB julung kali lulus resolusi mengenai Myanmar

Malaysia gembira PBB julung kali lulus resolusi mengenai Myanmar

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas 74 tahun, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya meluluskan resolusi pertama mengenai Myanmar ekoran krisis politik di negara itu sejak 22 bulan lalu.

Berita gembira itu disambut baik kerajaan Malaysia dan menerusi kenyataan Wisma Putra di sini, ia berharap usul tersebut akan memulihkan semula kegawatan siasah di Myanmar.

“Malaysia menerima penuh positif resolusi diluluskan Majlis Keselamatan PBB berhubung situasi Myanmar yang telah diadakan di ibu pejabat badan dunia itu semalam,” katanya.

Draf resolusi tersebut yang digubal Britain itu menuntut junta Myanmar menghentikan siri keganasan ke atas rakyat dan menggesa pembebasan kesemua tahanan politik tempatan.

Ini termasuk pemimpin demokrasi yang digulingkan tentera pada 1 Februari 2021 lalu, Aung San Suu Kyi sebagai mesej tegas dunia bagi menamatkan segera kemelut di Myanmar.

Resolusi itu bagaimanapun hanya disokong 12 negara termasuk duta Amerika Syarikat, Britain dan Perancis manakala wakil India pula serta kuasa veto, China dan Rusia berkecuali.

Sebelum ini, teks asal draf itu menggesa pemberhentian penjualan senjata kepada junta Myanmar selain mengancam pelaksanaan sekatan ekonomi tetapi kemudiannya dipadamkan.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia pernah menggesa majlis itu untuk memenuhi tanggungjawabnya sejajar dengan mandat piagam PBB atas sifat kemanusiaan sejagat.

“Resolusi ini memberi tanda signifikan dalam menyokong peranan ASEAN yang bersatu bagi mencari penyelesaian damai kepada kemelut politik berlarutan di Myanmar,” jelasnya.

Malahan Malaysia ujarnya, gembira kerana pihak majlis PBB itu turut meminta agar komuniti antarabangsa menyokong usaha diterajui ASEAN melalui pelan konsensus lima perkara.

Sehubungan kejayaan resolusi itu, Malaysia juga akan terus bekerjasama rapat dengan blok serantau tersebut dan rakan luar demi memastikan krisis di Myanmar dapat ditamatkan.

Sebelum ini, PBB tidak pernah pun meluluskan sebarang resolusi terhadap negara berkenaan kecuali hanya kenyataan rasmi yang mengutuk tindakan junta ke atas etnik Rohingya.

Myanmar yang juga anggota ASEAN namun disisihkan blok itu sendiri dalam semua mesyuarat rasmi termasuk dua sidang kemuncak masing-masing dihoskan Kemboja dan Brunei.

Langkah keras hasil inisiatif Malaysia itu sebagai tanda protes kepada junta yang berdegil dan terus enggan mematuhi segala konsensus ditetapkan oleh pihak Sekretariat ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.