Majikan kurang lima pekerja dibenar tangguh gaji minimum

Majikan kurang lima pekerja dibenar tangguh gaji minimum

V. SIVAKUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menangguhkan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga 1 Julai 2023.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, majikan bagi kategori itu diberi penangguhan selama enam bulan terhadap penguatkuasaan gaji minimum itu berbanding tarikh 1 Januari 2023 yang ditetapkan sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira soal kesediaan majikan dalam kategori itu bagi menguatkuasakan gaji minimum baharu kepada pekerja mereka.

“Kami turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan berdasarkan jangkaan cabaran ekonomi serta kewangan yang bakal dihadapi tahun depan.

“Penangguhan selama enam bulan ini diharap memberi peluang kepada majikan berkenaan untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan selain membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berharap penangguhan berkenaan dapat diterima baik oleh semua pihak.

Pada masa sama, Sivakumar berkata, majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih masih perlu meneruskan pembayaran gaji minimum sebanyak RM1,500 bermula 1 Mei lalu.

Katanya, ia termasuk majikan menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).

“Justeru majikan yang tidak terlibat dengan penangguhan ini hendaklah terus mematuhi pelaksanaan PGM dengan membayar gaji minimum RM 1,500 sebulan kepada pekerja,” katanya

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia menguatkuasakan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Melalui peraturan sebelum ini, semua majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, diberi pengecualian dan pelaksanaan PGM 2022 sebanyak RM1,500 sebulan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

Pelaksanaan gaji minimum baharu itu diluluskan kerajaan pada 19 Mac lalu dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April lalu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya