MAIWP peruntuk RM6 juta bantu mangsa banjir

MAIWP peruntuk RM6 juta bantu mangsa banjir

MOHD. Daud Bakar (empat dari kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd. Nizam Yahya (empat dari kanan) ketika pelancaran Karnival MAIWP di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM6 juta bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara terutama di Pantai Timur.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, jumlah tersebut diperuntukkan daripada agihan wang pembayar zakat bagi membantu mereka yang terkesan.

Beliau berkata, langkah itu juga mencerminkan MAIWP amat cakna dengan situasi dihadapi mangsa banjir yang agak serius kali ini.

“MAIWP memperuntukkan RM1 juta untuk setiap negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang yang disampaikan kepada majlis agama Islam masing-masing.

“MAIWP juga menyediakan RM1 juta (sebagai antara bajet) di bawah Menteri Agama (Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar) untuk disatukan dengan bajet Kerajaan Persekutuan bagi membantu mangsa banjir.

“Sebanyak RM2 juta juga disediakan untuk misi bantuan banjir skuad MAIWP-INSANI yang meliputi perbelanjaan dan barangan sumbangan,” katanya selepas penyerahan vest skuad MAIWP-INSANI di Darul Kifayah MAIWP, di sini, semalam.

Acara tersebut adalah gimik sebelum pelepasan konvoi skuad MAIWP-INSANI yang melibatkan seramai 108 pegawai majlis agama Islam itu, anak syarikat MAIWP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi misi bantuan banjir di Kelantan serta Terengganu.

Selain itu, Mohd. Daud berkata, skuad MAIWP-INSANI digerakkan bagi menyantuni 1,500 mangsa banjir di setiap negeri yang terlibat.

Justeru, beliau berkata, ia diharap dapat membantu meringankan beban mereka terutama pasca banjir.

“Pada peringkat awal mungkin banyak sokongan, (tetapi) semasa pasca banjir perlukan tenaga dan kudrat manusia untuk membantu mereka yang terkesan terutama membersihkan rumah serta mengembalikannya dalam keadaan asal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN