Lorong tol Plaza A Bandar Cassia JSAHMS akan ditutup sementara

Lorong tol Plaza A Bandar Cassia JSAHMS akan ditutup sementara

LORONG tol Plaza A Bandar Cassia di JSAHMS, Pulau Pinang akan ditutup sementara untuk latihan simulasi kecemasan mulai pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Lorong tol Plaza A Bandar Cassia di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), dekat sini akan ditutup sementara untuk latihan simulasi kecemasan mulai pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, esok.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Faisal Shahbudin, latihan simulasi itu bertujuan menilai kesiapsiagaan dan tindak balas JKSB, pasukan kecemasan dan agensi berkaitan dalam menguruskan situasi kecemasan di lebuh raya.

“Ia dilaksanakan bagi mengelak sebarang kejadian tidak dijangka kepada pengguna JSAHMS. Keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan kami. 

“Latihan kecemasan akan dijalankan secara berkala bagi menilai tahap kesiapsiagaan kakitangan JKSB dan agensi yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Faisal berkata, latihan kecemasan itu akan melibatkan JKSB, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan kontraktor JKSB.

Sepanjang tempoh latihan menurut beliau, pengguna dari Lebuhraya PLUS ke pulau (Bayan Lepas/Batu Maung) akan dilencongkan ke Plaza B Bandar Cassia. 

“Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas JKSB ketika latihan dijalankan,” katanya.

Tambah beliau, pengguna juga boleh menghubungi Hotline JKSB di talian 1300-30-2828 untuk mendapatkan maklumat trafik atau ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN