PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki ‘gila seks’ apabila cuba meraba dan mengejar empat wanita termasuk kanak-kanak dalam kejadian berasingan di sebuah pangsapuri di Taman Metropolitan, Kepong, dekat sini baru-baru ini.
Kejadian pertama dipercayai pada pukul 1.30 pagi melibatkan mangsa berusia 26 tahun yang dikejar lelaki warga tempatan berusia 24 tahun selepas menaiki lif untuk ke tingkat 25 sebelum didatangi suspek masuk ke lif sama.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketika pengadu sampai di tingkat 25 dan berjalan menuju ke rumahnya, tiba-tiba suspek berlari mengejar pengadu dari arah belakang dalam keadaan tidak berkasut serta tidak berseluar.
Katanya, pengadu kemudian berlari menuju ke rumahnya sambil menjerit meminta pertolongan sebelum rakannya memberi bantuan manakala suspek melarikan diri menggunakan tangga.
“Siasatan mendapati suspek terlibat tiga kes lain pada tarikh dan masa berlainan. Pada 25 November lalu, suspek menaiki lif yang sama dengan mangsa namun turun di tingkat 34 dan kemudian menaiki tangga menuju ke tingkat 35.
“Suspek kemudian ke hadapan pintu rumah mangsa dan bertindak menanggalkan seluarnya sambil menunjukkan kemaluannya ke arah mangsa iaitu seorang kanak-kanak berusia 12 tahun. Mangsa menjerit dan suspek melarikan diri menggunakan tangga.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Eng Lai, kes kedua berlaku kira-kira 2 pagi, 14 Oktober lalu apabila suspek telah mengekori seorang wanita warga asing berusia 27 tahun dengan menaiki lif menggunakan modus operandi sama.
Jelasnya, apabila mangsa tiba di hadapan rumahnya di tingkat 40, suspek yang datang dari arah belakang terus memeluk dan meraba buah dada mangsa.
“Mangsa terkejut lalu menjerit menyebabkan suaminya keluar rumah. Setelah menyedari kehadiran suami mangsa, suspek terus melarikan diri menggunakan tangga. Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 354 kanun Keseksaan.
“Kemudian pada 6.28 petang hari sama, suspek mengekori dan meraba seorang lagi mangsa berusia 16 tahun,” katanya.
Susulan itu, polis menahan suspek Khamis lalu dipercayai terlibat dalam kes-kes tersebut dan siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang mengaibkan seseorang dan Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam.- UTUSAN










