Lelaki bawa 158kg daun ketum parah kemalangan - Utusan Malaysia

Lelaki bawa 158kg daun ketum parah kemalangan

KEADAAN kereta yang membawa daun ketum remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 74, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang lelaki parah selepas kereta dipandunya yang membawa muatan 158 kilogram daun ketum bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 74, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, lelaki berusia 24 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios cedera pada kepala, dada dan kaki selepas tersepit di dalam kereta tersebut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu memandu kereta dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu suspek dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di dalam but kereta yang dipandu lelaki itu telah menemukan sebanyak 158 kilogram daun ketum. Siasatan mendapati kesemua daun ketum yang ditemukan itu bernilai RM4,740,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Choon Foo memberitahu, pemandu kereta jenis Honda City patah tangan kanan dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Katanya, suspek masih dirawat di hospital itu dan kini berada dalam keadaan kritikal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya