Lantikan politik dalam GLC bersyarat

Lantikan politik dalam GLC bersyarat

Anwar Ibrahim bertanya khabar sebahagian daripada mangsa banjir ketika melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebarang pelantikan orang politik bagi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mestilah berdasarkan kelayakan selain mematuhi syarat-syarat tertentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pada masa ini wujud kekeliruan berhubung lantikan politik dalam GLC.

Katanya, beliau tidak pernah menyatakan mereka tidak boleh terlibat dalam pengurusan GLC, tetapi yang dilantik itu mesti terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan.

“Saya nak jelaskan bahawa ada kemungkinan beberapa tokoh politik atau ahli Parlimen ditugaskan (dalam GLC), tetapi kita tetapkan keupayaan profesional dan prestasi selain pematuhan kepada peraturan tata kelola yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di sini semalam.

Mengenai keputusan menamatkan beberapa jawatan lantikan politik seperti pengerusi dan ahli lembaga pengarah, Anwar berkata, ia dibuat kerana memberi ruang menilai prestasi masing-masing.

Kata beliau, ini termasuk supaya mereka patuh kepada garis panduan dan tata kelola yang telah ditetapkan kerajaan.

“Saya menangguhkan hal ini kerana ada isu-isu seperti syarikat kerajaan yang ada syarikat kecil. Syarikat induk mengalami masalah kewangan dan syarikat kecil itu untung besar. Jadi syarikat kecil itu nak memberikan bonus yang besar.

“Hal-hal ini kita cerakin dalam peraturan dan garis panduan,” katanya yang turut mengumumkan penangguhan pelantikan semula bekas ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra.

Perdana Menteri berkata, penangguhan pelantikan itu sudah dimaklumkan kepada timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 16 Disember lalu, Ahmad Zahid memberitahu, Ahmad Jazlan dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Ahmad Zahid berkata, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat GLC ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

Sebelum ini Jemaah Menteri memutuskan bahawa pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan serta merta.

Ia membabitkan jawatan di badan berkanun Persekutuan, syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang dinyatakan dalam dokumen yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Sementara itu, Perdana Menteri turut memaklumkan, kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tanpa membuat apa-apa perubahan yang banyak kerana ia melambatkan proses pelaksanaan dan menyulitkan kerja-kerja serta rundingan sedia ada.

Anwar berkata, walaupun ada permohonan penambahan kos kerana laluan yang baharu, tetapi keseluruhan kos ECRL itu dijimatkan sebanyak RM11.01 bilion berbanding kos asal berjumlah RM85.97 bilion pada tahun 2016.

Beliau menjelaskan, kos projek yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur sepanjang 665 kilometer berjaya dijimatkan hasil kecekapan rundingan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya.

“Kita putuskan walaupun ada permohonan penambahan kos kerana laluan baharu, tetapi kalau kita lihat kos keseluruhan ECRL itu lebih rendah RM11.01 bilion berbanding kos keseluruhan asal sebanyak RM85.97 bilion pada tahun 2016,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengesahkan pembatalan Majlis Pemulihan Negara (MPN) kerana terdapat pertindihan fungsi dan jawatan.

“Itu (MPN) juga satu pertindihan juga, jawatan yang diletakkan untuk memenuhi keperluan ketika itu,” katanya.

Anwar turut memberitahu, kedudukan Pusat Governans Pusat Governans, Integriti dan Anti-RasuahNasional (GIACC) juga akan diteliti untuk dibubarkan bagi mengelakkan berlakuknya pertindihan fungsi dan peranan.

Perdana Menteri berkata, ada banyak badan-badan seumpama itu di negara ini yang menyebabkan berlakunya pertindihan kuasa selain pembaziran kos.

Katanya, bidang tugas itu boleh dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×