Laluan mencabar Aruel untuk muncul juara Getaran Jiwa - Utusan Malaysia

Laluan mencabar Aruel untuk muncul juara Getaran Jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Juara program pertandingan nyanyian, Getaran Jiwa, Aruel Ariel, mengakui hampir hilang keyakinan untuk meraih kemenangan, terutama selepas melihat peserta lain beraksi ketika sesi raptai.

Penyanyi berusia 36 tahun dari Selangor itu berkata, dia pada mulanya yakin untuk memenangi pertandingan itu, meskipun berdepan cabaran sengit.

“Namun, selepas melihat kehebatan peserta lain ketika sesi raptai, saya rasa peluang untuk menang tipis. Justeru, saya amat terharu apabila diumumkan sebagai juara.

“Saya anggap penyertaan dalam pertandingan ini sebagai cabaran, terutama apabila perlu membawakan lagu balada. Sebelum ini, saya selalu membawakan lagu rancak ketika persembahan,” katanya.

Kemenangan itu melayakkan Aruel membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi.

Pada pertandingan yang berlangsung di Stadium MBKS, Kuching, Sarawak, baru-baru ini, Aruel menambat hati juri membawakan lagu Dimana Kan Ku Cari Ganti, selain Gelora pada segmen cabaran battle duo bersama penyanyi, Santiana Ramli.

Sementara itu, Santiana yang memukau dengan lagu Tari Tualang Tiga meraih tempat kedua, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan trofi.

Penyanyi muda, Afif Tenor pula berpuas hati di tempat ketiga dengan menerima wang tunai RM10,000 serta trofi.

Afif yang juga dipilih sebagai penerima Anugerah GJ Pilihan Jiwa dan membawa pulang wang tunai RM1,000.

Tempat keempat pula dimenangi Ameem, 34, yang pulang dengan hadiah wang tunai RM5,000.

Dalam pertandingan tersebut, setiap peserta dinilai menerusi 70% pemarkahan oleh barisan juri profesional, manakala 30% lagi berdasarkan undian juri awam.

Pentas akhir Getaran Jiwa menyaksikan penyanyi legenda, Datuk Nash dilantik sebagai ketua juri. Penyanyi, Norafizah Busman pula mengisi kerusi juri tetap dan Faizal Tahir selaku juri jemputan.

Sementara itu, pentas akhir Getaran Jiwa digamatkan dengan persembahan istimewa penyanyi, Mas Idayu.

Program terbitan TVS dengan sokongan Kerajaan Sarawak itu menampilkan Sissy Imann dan Jiggy sebagai hos.

Pentas akhir turut menampilkan persembahan barisan penyanyi Bumi Kenyalang seperti Alena Murang, Winnie Albert, Carrie Geres, Safar Ghafar dan Hairee Francis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya