SYDNEY: Sebuah muzium di Australia berjuang mengekalkan pamerannya hanya untuk golongan wanita sahaja.
Malah, pihak muzium dilaporkan cuba menukar ruang istirahat di dalamnya menjadi tandas wanita bagi mengelak kehadiran pengunjung lelaki.
Terdahulu, Muzium Seni Lama dan Baru Tasmania membuat rayuan untuk membatalkan keputusan mahkamah mengarahkan lelaki dibenarkan masuk ke muzium itu di bawah undang-undang antidiskriminasi.
Mahkamah mengeluarkan perintah pada April lalu berikutan tuntutan diskriminasi jantina yang difailkan oleh penduduk New South Wales, Jason Lau, yang dinafikan masuk ke ruang istirahat muzium tersebut.
Bagaimanapun, artis utama ruang tersebut, Kirsha Kaechele menegaskan akan mencabar keputusan berkenaan.
Ruang istirahat yang mengandungi beberapa karya muzium paling terkenal seperti Picasso dan Sidney Nolan ditutup kepada orang ramai sejak perintah mahkamah dikeluarkan.
Kaechele merancang mengubah ruang rehat dengan hamparan baldu itu menjadi tandas wanita dan gereja yang akan membolehkannya terus beroperasi sebagai kawasan untuk wanita sahaja di bawah pengecualian undang-undang.
“Terdapat tandas yang hebat di Ladies Lounge dan kawasan ini akan beroperasi sebagai bilik khas untuk wanita.
“Ia adalah tandas yang diraikan di seluruh dunia. Ia adalah tandas yang paling hebat dan lelaki tidak akan dibenarkan melihatnya,” kata Kaechele dalam laporan media Australia.
Jelasnya, pada hari Ahad sahaja lelaki akan dibenarkan masuk ke ruang itu untuk belajar menyeterika dan melipat pakaian.










