KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia menegaskan, kenyataan akhbar berhubung pengendalikan rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes dana SRC International Sdn. Bhd., diterbitkan berlandaskan fakta yang benar dan ungkapan berpatutan melibatkan kepentingan awam.
Badan itu dan Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn berpendirian, kata-kata dalam kenyataan akhbar tersebut menyentuh subjek rayuan yang berkaitan isu-isu pentadbiran keadilan dan tahap profesion undang-undang di negara ini.
Kedua-dua defendan menyatakan, sekiranya kata-kata yang diadu dalam kenyataan akhbar tersebut mempunyai makna fitnah (yang mana adalah dinafikan), ia telah diterbitkan dalam keadaan perlindungan bersyarat.
Badan Peguam Malaysia dan Presidennya menyatakan demikian dalam pembelaan yang difailkan pada 7 November lalu berhubung saman yang dikemukakan oleh tiga peguam berkaitan pengendalikan rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan.
Defendan-defendan turut mengemukakan permohonan untuk membatalkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 30 September lalu.
Mereka ialah Datuk Mohd. Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam menyaman kedua-dua defendan berhubung kenyataan memfitnah yang mendakwa mereka menyalah guna dan mencemarkan sistem keadilan ketika mengendalikan rayuan akhir bekas Perdana Menteri.
Pembelaan itu menyatakan, defendan pertama melalui defendan kedua selaku presiden mempunyai kewajipan atau kepentingan menerbitkan kenyataan akhbar tersebut di laman webnya untuk kepentingan ahli-ahlinya dan orang awam.
Kedua-dua defendan menyatakan, kenyataan akhbar tersebut diterbitkan tanpa niat jahat manakala plaintif-plaintif diletakkan atas beban pembuktian yang kukuh.
Menurut pembelaan itu, kenyataan akhbar berkenaan membuat kesimpulan bahawa plaintif-plaintif telah melakukan salah laku profesional dan perkara itu perlu diputuskan oleh Lembaga Tatatertib yang mana Majlis Peguam kemudiannya membuat aduan pada 3 Oktober lalu.
Menurut defendan-defendan, kenyataan akhbar itu dikeluarkan oleh defendan kedua atas kapasiti beliau sebagai Presiden badan itu.
“Kenyataan akhbar itu tidak memutuskan, mengecam, memuktamadkan, menghakimi atau menentukan secara awal atau membuat sebarang
penemuan kesalahan berkenaan dengan sebarang salah laku plaintif-plaintif.
“Lembaga Tatatertib merupakan badan yang berbeza dan berasingan daripada defendan pertama dan Majlis Peguam.
“Lembaga Tatatertib yang memutuskan sama ada terdapatnya sebarang salah laku oleh seorang peguambela dan peguamcara, bukan defendan-defendan,” menurut pembelaan tersebut.
Pembelaan itu turut menyatakan, kelakuan plaintif-plaintif dalam rayuan tersebut telah dipublisitikan secara meluas dan telahpun menjadi subjek kritikan, komen dan persoalan dalam domain awam sebelum kenyataan akhbar tersebut diterbitkan.
Sementara itu, plaintif-plaintif ketika menjawab pembelaan tersebut menegaskan, defendan-defendan tidak berhak menerbitkan kenyataan akhbar dalam laman web rasminya sehingga menyebabkan ia diterbitkan semula dalam bentuk berita oleh pihak media.
Plaintif-plaintif menyatakan, kata-kata dalam kenyataan akhbar itu didorong oleh niat jahat, keterlaluan, melebih-lebih, kesat dan tidak berasas manakala kritikan di dalamnya bersifat merendah-rendahkan maruah dan serangan habis-habisan terhadap kedudukan dan reputasi mereka.
Dalam pernyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa pada 19 Ogos lalu, defendan kedua telah secara salah dan berniat jahat menerbitkan kenyataan akhbar bertajuk ‘Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System’ pada laman web rasmi defendan pertama dan kenyataan itu turut diterbitkan oleh The Edge Markets, Malay Mail dan The Star.
Mereka mendakwa kenyataan akhbar itu antara lain membawa maksud mereka telah menyalahgunakan proses mahkamah dan melakukan salah laku profesional dengan menerima kes daripada Najib serta perlu menghadapi prosiding tatatertib kerana menjatuhkan maruah profesion guaman.
Ketiga-tiga peguam itu mendakwa defendan gagal atau enggan menghubungi mereka untuk mengesahkan fakta-fakta sebelum mengeluarkan kenyataan akhbar selain tidak memberi peluang kepada plaintif untuk menyatakan pendirian daripada pihak mereka dan versi cerita mereka.
Dakwa kesemua plaintif, aduan salah laku terhadap mereka bagi pengendalian dalam rayuan Najib sepatutnya dibuat dan dirujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Tatatertib di bawah Seksyen 99 (1) Akta Profesion Undang-undang, namun kedua-dua defendan melanggar kewajipan berkanun mereka dengan mengeluarkan kenyataan akhbar.
Menurut plaintif, Seksyen 99 (1) akta itu memberikan kuasa eksklusif kepada Lembaga Tatatertib untuk menangani apa-apa perkara berkaitan dengan tingkah laku peguam bela dan peguam cara kerana ia secara nyata memperuntukkan bahawa apa-apa aduan sedemikian haruslah terlebih dahulu dibuat dan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib.
Plaintif berkata sepucuk surat telah dikeluarkan pada 26 Ogos lalu supaya kedua-dua defendan menarik balik penerbitan kenyataan akhbar itu dan membuat permohonan maaf kepada plaintif, namun ditolak oleh defendan menerusi peguam mereka, Tetuan Lee Hishammudin Allen & Gledhill pada 2 September lalu.
Plaintif mendakwa penerbitan kenyataan akhbar itu menyebabkan reputasi mereka tercemar selain menegaskan bahawa tindakan defendan melanggar kewajipan berkanun telah memprejudis plaintif.
Oleh itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, faedah dan kos selain memohon satu injunksi bagi menghalang defendan pertama dan kedua atau ejen mereka daripada menerbitkan perkataan-perkataan serupa yang bersifat fitnah terhadap plaintif-plaintif. – UTUSAN