REMBAU: Keluarga penunggang motosikal yang maut dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Seremban-Tampin dekat Sungai Gadut di sini, Ahad lalu, mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 pagi itu, mangsa yang merupakan pelajar Politeknik Nilai, Allahyarham Muhammad Ikram Mohd. Yazid, 21, maut meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Bapa mangsa, Mohd. Yazid Mohd. Nor, 57, berkata, tindakan undang-undang yang akan diambilnya itu bagi memberi pengajaran kepada pihak bertanggungjawab supaya sentiasa memantau keadaan pokok yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
“Ini melibatkan nyawa manusia, bukan boleh dibuat main. Kali ini nyawa anak saya, saya tidak mahu ada keluarga lain terutamanya ibu bapa yang terpaksa berhadapan keadaan seperti ini lagi.
“Saya tahu di kawasan tersebut sudah dilaksanakan kerja-kerja penebangan pokok, namun, masih banyak lagi pokok yang berbahaya tidak ditebang. Walaupun sedih dan kesal dengan kejadian ini, namun kami reda,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Baru Perigi Jernih, di sini semalam.
Pada 25 Disember lalu, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas ditimpa pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Seremban-Tampin dekat Sungai Gadut, dekat sini.
Mangsa, Muhammad Ikram cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng, Ammar Zarif Mohamad Junaidi, 18, parah di badan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ketika kejadian mangsa dari arah Senawang di sini menuju ke Rembau dan tiba di tempat kejadian terdapat sebatang pokok yang berada di kiri bahu jalan telah tumbang lalu menghempap motosikal yang sedang bergerak.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa terperosok di bawah pokok yang tumbang dan penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ammar Zarif yang juga bapa saudara mangsa berkata, selepas dihempap pokok yang tiba-tiba tumbang itu, dia melihat Muhammad Ikram terbaring dalam keadaan berlumuran darah di tangan kanan.
Katanya, dia berulang kali memanggil anak saudaranya itu namun tidak bersahut dan dapat berasakan Muhammad Ikram sudah meninggal dunia.
“Tidak lama lepas tu saya dibantu oleh Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang mengeluarkan kami dari pokok yang tumbang. Ketika kejadian, kami berdua bersama seorang lagi rakan yang menunggang sebuah motosikal mahu pergi ke Seremban,” katanya.
Sementara datuk mangsa, Mejar (B), Md Rathi Ahmad, 75, turut menyatakan sewajarnya pihak bertanggungjawab sudah memantau keadaan pokok-pokok yang berada di tepi jalan utama terutama ketika cuaca tidak menentu.
“Paling dibimbangi adalah pada waktu malam atau semasa angin kuat. Walaupun ada lampu, cahayanya kurang disebabkan terlindung oleh rimbunnya pokok.
“Kami berharap agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera bagi mengelak kejadian seperti ini berulang kembali,” katanya lagi. – UTUSAN