Kedah masih belum benarkan konsert hiburan

Kedah masih belum benarkan konsert hiburan

NAJMI Ahmad (kanan) menyampaikan Sijil Perhebat kepada anggota tentera yang bakal bersara di Dewan Kuliah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra, Kubang Pasu. - FOTO/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kerajaan negeri masih kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan penganjuran konsert hiburan yang boleh mencetuskan kelakukan di luar tatasusila di seluruh Kedah. 

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, langkah tersebut bagi memastikan imej negeri ini tidak terjejas selain mengawal tingkah laku golongan muda. 

Katanya, tanggungjawab mendidik serta mengawal anak-anak muda juga diharapkan dapat dimainkan oleh semua pihak termasuk masyarakat setempat. 

“Kita masih kekal dengan keputusan sebelum ini tanpa membenarkan konsert-konsert yang boleh menjejaskan imej dan dalam masa sama, kita hendak kawal anak-anak muda agar tidak terpengaruh dengan konsert liar. 

“Bukan saja untuk Melayu Islam malah kaum-kaum lain juga kita harapkan untuk memainkan peranan sama. Sama-sama kita kawal supaya anak muda kita lebih bersopan-santun serta mematuhi Rukun Negara termasuk dalam aspek kesopanan dan kesusilaan. 

“Menjelang peralihan ke tahun baharu ini, kita akan lakukan pemantauan agar konsert-konsert liar tidak diadakan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Program ‘Reskilling’, ‘Upskilling’ Veteran ATM di Jitra, hari ini.  

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada 3 Oktober lalu menerusi satu kenyataan mengumumkan mengenai keputusan untuk mengharamkan konsert-konsert sedemikian di seluruh Kedah. 

Keputusan tersebut dibuat susulan tular tindakan sekumpulan muda-mudi yang dilihat terkinja-kinja dalam satu konsert diadakan sempena penganjuran Muda-Mudi Weekend Festival berhampiran Masjid Zahir, beberapa hari sebelum itu. 

Sementara itu Najmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang berkata, lebih 10 jambatan kecil yang rosak akibat beberapa kejadian bencana banjir di kawasannya telah melalui proses baik pulih termasuk gotong-royong diadakan penduduk setempat. 

Menurutnya, beliau telah mengeluarkan peruntukan untuk menyediakan bahan diperlukan sementara kerja-kerja baik pulih dilaksanakan secara gotong-royong oleh penduduk setempat. 

“Secara puratanya, sebuah jambatan kecil itu memerlukan kos kira-kira RM2,000 untuk dibaik pulih. Banjir yang berlaku disebabkan oleh perubahan musim hingga mendatangkan hujan luar biasa dan menyebabkan beberapa infrastruktur seperti jambatan serta jalan kampung rosak. 

“Maka ini antara kaedah yang digunakan bagi memastikan jambatan serta laluan tersebut dapat digunakan. Bagi jambatan-jambatan besar yang memerlukan kos tinggi pula, kita salurkan kepada pihak berwajib,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.