Kakak menangis, adik pula belum tahu ibu bapa sudah tiada

Kakak menangis, adik pula belum tahu ibu bapa sudah tiada

KERATAN laporan Utusan Malaysia 12 Disember 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang daripada dua kanak-kanak yang terselamat dalam kemalangan maut berhampiran Jambatan Bainun dekat sini, belum mengetahui ibu dan bapanya terkorban dalam nahas pada malam Sabtu lalu itu.

Harith Hamdan berkata, anak saudaranya, Mohamad Hakimi Amsyar Mohamad Adam, 4, yang menggelarkan dirinya ‘abang’ kini sudah sedar dan boleh makan seperti biasa, tetapi belum mengetahui kematian ibu, bapa dan adik lelakinya.

“Dia belum tahu sebab dia ada cakap dengan mak saya, ‘Opah, kalau boleh, bila dah sihat, abang nak keluar (hospital), jumpa ayah suruh beli dinosaur yang besar untuk bermain’.

“Kakaknya, Nur Aisyah Umairah yang berusia enam tahun sudah tahu tiga ahli keluarganya tiada dan menangis,” katanya semalam.

Nur Aisyah Umairah dan Mohamad Hakimi Amsyar adalah anak kepada pasangan Mohamad Adam Che Embi, 33, dan Nurhamizza Hamdan, 32, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan di Jalan Kampung Koh-Segari, pada 10 Disember lalu.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah anak bongsu mereka, Mohamad Aisy Hakim, 2, yang mana mereka lima sekeluarga menaiki kereta Proton Saga dalam perjalanan pulang ke rumah di Segari sebelum bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Chevrolet Captiva.

Nur Aisyah Umairah dan Mohamad Hakimi Amsyar yang kini menjadi yatim piatu mengalami kecederaan di dada dan dahi serta menerima rawatan lanjut di Hospital Seri Manjung (HSM).

Menurut Harith, ketika ini, hanya ibunya, Ropitah Din, 53, yang dibenarkan berada dalam wad khas kanak-kanak untuk menjaga dua cucunya itu manakala orang lain tidak dibenarkan melawat termasuk dia sendiri.

Jelas beliau, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menelefonnya menyatakan hasrat melawat dua anak saudaranya itu tetapi pihak HSM belum membenarkannya.

“Mungkin pihak hospital mengambil sikap berjaga-jaga dan masih mahu terus memantau keadaan mereka. Cuma, yang saya tahu (selepas diberitahu Ropitah), dua beradik itu dalam keadaan stabil.

“Kami pun ada meminta untuk membawa mereka keluar (dari wad) sekejap, tetapi tidak dibenarkan dan berharap anak saudara saya itu dapat pulih sepenuhnya.

“Menurut mak saya, dua beradik itu pun sudah mulai rasa bosan duduk dalam wad sampaikan kakaknya ‘berleter’ dengan petugas yang merawatnya bertanya bila boleh keluar dari hospital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN