KUALA PILAH: Pembentukan Kabinet kerajaan perpaduan yang dibentuk baru-baru ini dilihat sebagai susunan terbaik dalam usaha mengeluarkan negara daripada kemelut ekonomi.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jawatan Kabinet tersebut merupakan amanah besar buat yang dilantik terutamanya dalam keadaaan negara berdepan pelbagai masalah termasuk mengenai bekalan makanan.
“Saya berharap bahawa dengan kerja keras mereka (barisan jemaah menteri) susunan terbaik ini, kita dapat segera keluar kemelut-kemelut yang kita hadapi.
“Selain itu, kita sedia maklum beberapa tahun kebelakangan ini Negeri Sembilan berada dalam sebuah kerajaan pembangkang justeru dengan kebersamaan ini (kerajaan perpaduan) kita mampu membangunkan dengan lebih baik lagi khususnya pembangunan infrastruktur di negeri ini dapat disegerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kompleks Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Kuala Pilah, hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan sekali lagi mengulangi pendirian untuk terbuka bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Insya-Allah, nampaknya ada persefahaman yang baik. Kalau di peringkat sekarang, ya, tetapi kami serahkan kepada pucuk pimpinan untuk mereka berbincang mencari satu kata putus pada masa akan datang.
“Kalau di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kita selesai, lima tahun akan datang juga perlu ada perbincangan di peringkat pimpinan dan berdasarkan apa yang diputuskan itu, saya harap di peringkat bawah akan terima,” katanya. – UTUSAN










