PETALING JAYA: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Ka Siong dalam hantaran beliau di laman Facebook miliknya memaklumkan pertemuan yang berlangsung selama 35 minit itu lebih kepada menyentuh isu rakyat dan negara.
“Saya juga mengutarakan isu-isu yang dihadapi oleh komuniti Cina serta bertukar pendapat dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengenai masalah inflasi, kos sara hidup dan perkembangan politik terkini.
“Kami juga berkongsi cara menarik pelaburan asing terutamanya dari China yang mempunyai potensi besar untuk melabur di Malaysia dan seterusnya dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negara,” katanya.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut merakam ucapan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 (PM 10).
“Semoga kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri akan terus maju, stabil dan pulih dalam era pasca pandemik. Terima kasih Perdana Menteri di atas jemputan untuk mengadakan pertemuan ini,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng. – UTUSAN










