APABILA harga sayur, ikan atau ayam meningkat, antara pihak yang paling cepat dipersalahkan ialah ‘orang tengah’.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan inflasi keseluruhan negara pada Julai 2026 berada pada 1.8 peratus.
Walaupun kadar itu masih sederhana, namun kumpulan makanan dan minuman mencatat kenaikan 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya. Bagi isi rumah, perubahan kecil sekalipun tetap dirasai kerana makanan merupakan keperluan yang dibeli setiap hari.
Sebagai contoh, sayur yang dituai di Cameron Highlands perlu melalui proses penggredan, pembungkusan, penyimpanan dan pengangkutan. Selepas itu, hasil berkenaan mungkin bergerak ke pusat pengumpulan dan pasar borong sebelum sampai ke pasar raya atau penjaja. Setiap peringkat melibatkan kos tenaga kerja, bahan api, sewaan, penyimpanan serta risiko kerosakan atau lebihan stok.
Makanan juga mempunyai cabaran yang tidak sama dengan barangan tahan lama. Sayur yang tidak terjual hari ini boleh kehilangan nilai dalam tempoh singkat. Ikan pula memerlukan kemudahan rantaian sejuk, manakala buah-buahan terdedah kepada kerosakan ketika dikendalikan dan dihantar. Semakin tinggi risiko kehilangan, semakin besar kos yang perlu ditanggung sepanjang proses tersebut.
Justeru, jika matlamatnya ialah menstabilkan harga makanan, persoalan yang perlu diteliti bukan sekadar siapa memperoleh margin terbesar tetapi bahagian mana yang masih tidak cekap.
Setiap kelemahan mempunyai kos dan pada akhirnya, beban itu boleh sampai kepada pengguna. Atas sebab itu, rantaian makanan perlu dilihat sebagai satu sistem yang saling berkait, bukannya kumpulan pemain yang bergerak secara berasingan.
Antara langkah penting ialah meningkatkan ketelusan data bekalan dan permintaan. Pengeluaran yang lebih selari dengan keperluan pasaran dapat mengurangkan risiko lambakan atau kekurangan.
Pada masa sama, kemudahan logistik seperti pusat pengumpulan, gudang, rantaian sejuk dan sistem pengangkutan perlu diperkukuh. Perjalanan lori yang tidak optimum, termasuk bergerak separuh muatan atau pulang kosong, hanya menambah perbelanjaan tanpa menghasilkan nilai baharu.
Teknologi juga boleh memainkan peranan lebih besar. Platform digital, sistem penjejakan dan ramalan permintaan dapat membantu pengeluar memahami keadaan pasaran, memudahkan pembeli mendapatkan bekalan serta membolehkan pengangkut merancang perjalanan dengan lebih cekap.
Satu lagi perkara yang tidak boleh dipandang ringan ialah kehilangan makanan sebelum sampai kepada pengguna. Jika 100 kilogram hasil dituai tetapi hanya 80 kilogram berjaya dijual, kos 20 kilogram yang rosak atau hilang itu tetap perlu ditanggung oleh rantaian bekalan.
Ini bukan bermaksud isu pencatutan, manipulasi harga atau penguasaan pasaran boleh diketepikan. Jika wujud bukti salah laku, penguatkuasaan mesti dilakukan dengan tegas. Keterjaminan makanan bukan hanya soal berapa banyak yang mampu dihasilkan, malah turut bergantung keupayaan membawa hasil dari ladang ke meja dengan pantas, selamat, kurang pembaziran dan pada kos yang munasabah. –UTUSAN
.
PROFESOR DR. MOHD. RIZAL RAZALLI
Pusat Pengajian Pengurusan
Teknologi dan Logistik (STML),
Universiti Utara Malaysia (UUM)











