ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mampu menempatkan seramai 194,195 mangsa banjir di 777 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dikenal pasti di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, kemampuan tersebut adalah persediaan kerajaan negeri menghadapi bencana alam berkenaan dan turut mengenal pasti sejumlah penyedia makanan kering dan basah untuk memastikan bekalan makanan kepada mangsa terjamin.
“Menerusi statistik kesiapsiagaan Monson Timur Laut 2022/2023 di Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor, seramai 75 pembekal barangan kering dan 70 pembekal makanan bermasak telah dikenal pasti di setiap daerah.
“Sementara itu, kadar catuan bekalan makanan di PPS yang diuruskan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) adalah mengikut kuota ditetapkan, iaitu RM25 seorang sehari bagi makanan masak berkawah atau berbungkus,” katanya ketika menjawab soalan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Khairin-Nisa turut memberitahu, persiapan kerajaan negeri merangkumi penyediaan PPS, penyelenggaraan logistik, penyediaan stok bekalan bencana di semua stor bencana daerah, mengemas kini senarai pembekal makanan bermasak di semua daerah dan senarai petugas melibatkan warga kerja JKM dan sukarelawan kebajikan.
“Sehingga November 2022, seramai 457 petugas melibatkan pegawai dan kakitangan Unit Bencana, Pegawai Psikologi, Psychology Support Team (PST) dan sukarelawan kebajikan di 10 daerah.
“Tambahan jumlah warga kerja di Ibu pejabat JKM negeri Johor dan tujuh institusi kebajikan di negeri Johor, iaitu seramai 413 orang yang juga akan bertugas di lapangan sekiranya ada keperluan,” jelasnya.
Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah juga telah melantik ahli jawatankuasa PPS, iaitu Jawatankuasa Pendaftaran Mangsa, Bekalan Keperluan, Makanan, Kesihatan dan Kebersihan, Keselamatan, Aktiviti dan Sukarelawan.
“Senarai keanggotaan bagi setiap jawatankuasa yang dilantik adalah sekurang-kurangnya lima orang dan bergantung kepada kapasiti PPS yang akan dianggotai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Unit Pengurusan Bencana Daerah dari Pejabat Daerah, komuniti setempat, sukarelawan dan pertubuhan sukarela setempat.
“Kolaborasi ini dapat melancar dan mempercepat penyaluran bantuan di PPS serta mengukuhkan tenaga kerja bagi mengurus mangsa bencana yang dipindahkan di PPS,” tambahnya.- UTUSAN










