JKM cari pasangan pura-pura kereta habis minyak

JKM cari pasangan pura-pura kereta habis minyak

GAMBAR tular memaparkan sebuah keluarga yang didakwa menggunakan taktik membawa anak kecil untuk meraih simpati masyarakat dengan duduk di tepi jalan raya di sekitar Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sepasang suami isteri yang didakwa orang ramai menggunakan taktik membawa anak kecil untuk meraih simpati masyarakat dengan duduk di tepi jalan raya di beberapa lokasi sekitar negeri ini, kini berada dalam perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, pasukan pegawai pelindung, kaunselor dan penguatkuasa Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Jasin sedang giat mengesan keluarga berkenaan.

Katanya, rondaan dilaksanakan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dari Simpang Ampat sehingga ke Sungai Rambai, namun belum menunjukkan sebarang hasil.

“JKM negeri menerima aduan berhubung kejadian tular sebuah keluarga menggunakan anak-anak mereka yang masih kecil untuk meraih simpati pengguna jalan raya.

“Kita telah melaksanakan tinjauan di lokasi yang dimaksudkan dari Simpang Ampat ke Sungai Rambai dan berpatah balik ke Umbai, namun pegawai memaklumkan mereka tidak dapat dikesan sepanjang pemantauan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sejak semalam, tular dalam laman sosial Facebook sekeping gambar memaparkan sebuah kereta jenis Proton Wira tersadai ditepi jalan bersama lima individu dipercayai pasangan suami isteri dan tiga anak mereka yang masih kecil.

Pemilik hantaran itu mendakwa, dia pernah menolong keluarga berkenaan beberapa bulan lalu yang mana si ayah memaklumkan, kereta mereka kehabisan minyak.

Katanya, namun dia berasa pelik apabila baru-baru ini terserempak kembali dengan keluarga itu yang dipercayai menggunakan modus operandi sama untuk meraih simpati pengguna jalan raya.

Tambah Burhanuddin, tinjauan akan terus dilaksanakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (1) (c) Akta Kanak-kanak 2001.

“Sabit kesalahan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) (a) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.