ARAU: Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap tidak meminggirkan negeri dan ahli Parlimen pembangkang khususnya aspek peruntukan yang sama rata.
Dalam masa sama, kerajaan juga perlu fokus membela nasib rakyat bukannya terus ‘mengorek’ cerita termasuk tuduhan tidak berasas kononnya kerajaan terdahulu menyeleweng dana RM600 bilion.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, fokus kerajaan ketika ini ialah perlu mempersembah kepada rakyat apa yang hendak dilakukan demi kepentingan mereka bukannya terus berperangai seperti pembangkang.
Kata Shahidan, pihaknya akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan dalam membantu kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.
“Selesaikan masalah rakyat bukan korek cerita itu cerita ini seperti pembangkang. Usaha baik kerajaan kita akan bantu demi kepentingan rakyat.
“Dalam masa sama, saya syor peruntukan ahli Parlimen juga diberikan sama rata. Rakyat perlu mendapat pembelaan namun jika kerajaan tetap nak hukum pembangkang kita tidak ada masalah dan kerja-kerja membantu rakyat tetap diteruskan,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau di sini semalam.
Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan 27 timbalan menteri bagi melengkapkan saf kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Jumlah itu menjadikan barisan Kabinet mempunyai 55 orang yang terdiri daripada Ahli Parlimen dan Senator untuk menerajui pentadbiran negara dalam tempoh lima tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, pihaknya akan menggerakkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perpaduan Ummah yang turut berperanan melaksanakan kerja-kerja kebajikan.
Katanya, NGO berkenaan juga bakal berperanan menyatupadukan orang Melayu Islam tanpa mengira fahaman politik.
“Orang UMNO yang rasa sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin mereka juga amat digalakkan menyertai NGO ini dan bersama-sama menegakkan usaha ke arah penyatuan ummah ini.
“UMNO kalah teruk dalam pilihan raya baru-baru ini sebab berdegil hendak bergerak solo. Kalau bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini sudah pastinya majoriti dua pertiga kerusi Parlimen mudah diperoleh,” katanya. – UTUSAN











