‘Insafi usaha ibu demi PhD’ - Utusan Malaysia

‘Insafi usaha ibu demi PhD’

MUHAMMAD Nur Azam Ghazali (tengah) meraikan kejayaan selepas menerima Ijazah Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak bersama ibunya, Jaina Yusoff (kanan) dan adik perempuannya, Maisara sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di Tanjung Malim. – UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kejayaan meraih empat anugerah termasuk Anugerah Pelajaran Diraja pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tahun lalu membakar semangat Muhammad Nur Azam Ghazali, 26, untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana seterusnya Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Selain Anugerah Pelajaran Diraja, dia menerima Ha­diah Buku Fakulti Pembangunan Manusia, Anugerah Buku Adni dan Anugerah Khas Adni pada konvokesyen UPSI tahun lalu.

Muhammad Nur Azam yang menerima Ijazah Sarjana Pendi­dikan Awal Kanak-kanak daripada Canselor, Tuanku Zara Salim sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-24 di Dewan Tuanku Canselor UPSI di sini berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam tempoh satu tahun dua bulan.

Anak kelahiran Kampung Permatang Pasir, Bachok, Kelantan itu ternyata sekali lagi membanggakan keluarganya apabila bingkas melanjutkan pengajian peringkat PhD di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk terus mencipta kejayaan.

Muhammad Nur Azam berterima kasih kepada UTM yang memberi biasiswa penuh untuknya menjalankan kajian bertajuk ‘Perekaan dan Perkemba­ngan Modul Pendidikan STEM Berdasarkan Objek Maujud (STAND-TICK) untuk Kanak-Kanak di Malaysia yang diadaptasi dari Teori Taxonomi’.

“Menyedari akan kemam­puan diri apatah lagi selepas menerima empat anugerah utama terus membakar semangat saya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana hanya dalam tempoh satu tahun dua bulan,” katanya di sini.

Anak keempat daripada sembilan beradik yang kehilangan bapa pada 2019 kini ingin me­ngubah nasib keluarga terutama ibunya, Jaina Yusoff, 57, seorang peniaga kecil di Pasar Jelawat, Bachok.

“Semoga kepayahan hidup kami akan berubah dan saya yakin dengan pendidikan sahaja dapat mengubah nasib kami sekeluarga,” katanya.

Sebagai anak lelaki, Muhammad Nur Azam insaf akan pendapatan ibu sebagai peniaga kecil di pasar, lebih-lebih lagi selepas pemergian arwah bapa.

Dia yang sebelum ini pernah menjadi pensyarah di salah sebuah kolej dekat Kota Bharu, Kelantan berkata, memang menjadi impiannya untuk bergelar pensyarah sepenuh masa selepas menamatkan pe­ngajian di peringkat PhD.

“Saya selalu meminta ibu mendoakan saya agar dapat meneruskan pengajian dengan lancar sehingga dapat menggenggam PhD,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof. Madya Dr. Ghazali Din yang akrab dengan Muhammad Nur Azam berkata, lepasan UPSI itu sudah membuktikan kecemerlangannya sewaktu belajar di UPSI, bukan sahaja dalam akademik malah kokurikulum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.