Injap LRA Sungai Dua berusia 45 tahun diganti esok - Utusan Malaysia

Injap LRA Sungai Dua berusia 45 tahun diganti esok

CHOW Kon Yeow (kanan) melihat injap yang akan diganti di Loji Rawatan Air Sungai Dua, di Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Pix SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan memastikan kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dekat sini, akan disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerja penggantian injap yang telah digunakan sejak 45 tahun lalu itu perlu dilakukan bagi memastikan bekalan air bersih dapat terus disalurkan kepada penduduk setempat.

Menurut beliau, kerja-kerja penggantian injap 1,200 milimeter (mm) dan 1,350 mm di loji terbabit dan pembaikan paip berukuran 1,200mm diameter di Permatang Ara telah dikenal pasti sebagai kerja paling kritikal yang memerlukan 18 jam untuk dibaiki.

Pada masa sama tambahnya, kerja-kerja penyelenggaraan lain turut akan digabungkan dan dijalankan serentak dan bekalan air dijangka dapat disalurkan semula secara berperingkat selepas 36 jam.

“Bagaimanapun, kawasan perumahan berbukit dan rumah pangsa yang tidak mempunyai sistem pam mungkin akan pulih lewat sedikit ekoran tekanan air rendah.

“Justeru, kita sarankan penduduk menyimpan bekalan air sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam bagi kegunaan seisi rumah,” katanya kepada pemberita selepas melawat LRA Sungai Dua, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan.

Sementara itu, Boon Poh berkata, sebanyak empat tangki air PBAPP dan 32 tangki air meliputi Pertubuhan Bomba Sukarela, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menyalurkan bekalan air bersih kepada kawasan berkepentingan.

“Antara premis atau lokasi yang diberi keutamaan termasuklah pusat dialisis dan Penjara Seberang Perai.

“Kita bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan, malah ada juga orang awam yang turut memohon bantuan bekalan air bagi melancarkan program keramaian yang akan berlangsung pada minggu ini,” katanya.

Sebanyak 197,851 akaun air meliputi tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan akan terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual ini selama 48 jam bermula 2 pukul 10 malam esok (Jumaat) sehingga Ahad ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya