Anak saya wira negara - bapa Komander Firdaus

Anak saya wira negara – bapa Komander Firdaus

RAMLI Abd. Hamid (kanan) ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumian anaknya, Komander Muhammad Firdaus Ramli di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Bapa kepada Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, menyifatkan anak sulungnya itu sebagai seorang wira negara.

Ramli Abd. Hamid, 60-an, berkata, Muhammad Firdaus yang terkorban dalam kejadian pagi semalam juga adalah wira kepada anak-anak muda di Sungai Nibong ketika ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sayangkan anak saya. Dia adalah wira negara dan wira kepada anak-anak di Sungai Nibong ini.

“Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang terlibat terutamanya kepada pemerintah negara, pihak tentera, menteri-menteri, rakan-rakan serta penduduk kampung yang banyak membantu kami,” katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di sini hari ini.

Jenazah Muhammad Firdaus yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut di Perak, pagi semalam selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di sini kira-kira pukul 8.50 malam ini.

Semalam, media melaporkan dua helikopter TLDM iaitu pesawat Fennec (M502-6) dan pesawat HOM (M503-3) bertembung sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.30 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semua 10 mangsa yang berada dalam kedua-dua helikopter itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika ini, TLDM pula dilaporkan sudah menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dua helikopter bertembung dan terhempas itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN