PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan perjanjian ditandatangani antara gabungan parti politik yang menyokong pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai haram, tidak berperlembagaan dan bahaya dikuatkuasakan.
Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perjanjian yang ‘memaksa’ ahli-ahli Dewan Rakyat supaya mengundi Anwar melalui usul undi percaya Perdana Menteri dikhuatiri membawa kepada pemerintahan berbentuk diktator.
Hal ini kerana, menurutnya, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan tidak boleh menyebabkan kerusi dikosongkan atas alasan ‘cara ahli Parlimen mengundi’ di Dewan Rakyat.
Ironinya, ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, di dalam perjanjian yang ditandatangani menyatakan, kesemua ahli Parlimen kerajaan wajib menyokong Perdana Menteri dalam mana-mana usul undi percaya atau rang undang-undang perbekalan.
Ini berdasarkan Klausa 4(b) perjanjian itu, ahli Parlimen akan dianggap telah mengosongkan kerusi Parlimen mereka berdasarkan Perkara 49A Perlembagaan, sekiranya ahli Parlimen kerajaan gagal mengundi seperti yang telah diperintah.
“Kami (pembangkang) sentiasa menyokong sebarang ikhtiar untuk memastikan wujud kerajaan yang stabil, tetapi tidak dengan cara membelakangi Perlembagaan dan undang-undang.
“Tidak ada apa-apa perkara seperti ini di dalam Artikel 49A. Ia hanya merangkumi situasi yang mana seseorang ahli Parlimen meletak jawatan atau berhenti menjadi ahli partinya.
“Oleh sebab itu saya tegaskan, perjanjian ini adalah haram, tidak berperlembagaan, berbahaya dan tidak boleh dikuatkuasakan langsung,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, laporan perenggan 21.4 disediakan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti pada 18 Julai lalu menyatakan, ahli Parlimen yang tidak mengundi mengikut arahan parti tidak akan kehilangan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan.
“Tidak mungkin Anwar dan pimpinan UMNO tidak tahu berkenaan laporan jawatankuasa bipartisan ini. Jelas, mereka secara tidak jujur memilih untuk mengendahkan dalam satu tindakan terdesak untuk menakutkan dan mengugut ahli Parlimen mereka sendiri untuk menurut kehendak parti, walaupun ia membawa kepada kemudaratan terhadap demokrasi berparlimen.
“Anwar dan parti-parti kerajaan tidak boleh bergantung kepada Perkara 49A mengugut ahli Parlimen untuk mengundi bagi menyokong beliau sebagai Perdana Menteri atau lepas itu dalam mana-mana rang undang-undang atau perkara yang berkaitan dengan kepercayaan,” katanya.
Klausa 4 perjanjian yang ditandatangani oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) semalam menetapkan bahawa ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan yang gagal mengundi atau menyokong Perdana Menteri dalam usul berkaitan undi percaya, rang undang-undang bekalan atau usul prosedur berkuat kuasa pada kestabilan kerajaan persekutuan akan dianggap telah meletak jawatan.
Kesannya, kerusi ahli Parlimen akan dikosongkan mengikut Perkara 49A Perlembagaan, dan parti ahli Parlimen itu mesti memaklumkan kekosongan tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya notis diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil.
Baru-baru ini, Anwar yakin mendapat sokongan dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat dalam sidang khas Parlimen, Isnin ini, berdasarkan komitmen yang diberikan ketua-ketua parti PH, BN, GPS, GRS dan Warisan. – UTUSAN