Hartal Doktor Kontrak bangkit 5 tuntutan

Hartal Doktor Kontrak bangkit 5 tuntutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan Hartal Doktor Kontrak sekali lagi membangkitkan lima tuntutan utama kepada Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa bagi menyelesaikan isu yang membelenggu pegawai perubatan kontrak.

Lima tuntutan tersebut merangkumi perjawatan tetap dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kenaikan pangkat berasaskan masa dan cuti tanpa gaji.

Selain itu, ia turut melibatkan pertambahan program kepakaran kepada doktor kontrak dan status Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, Zaliha bagaimanapun belum memutuskan tarikh perjumpaan bagi membincangkan tuntutan itu.

Sehubungan itu, beliau berharap pertemuan tersebut dapat diadakan dalam masa terdekat terutama pada awal Januari kerana Ahli Parlimen Sekijang itu sudah hampir sebulan mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan.

Dalam masa sama, kata beliau, pihaknya memahami jadual Menteri Kesihatan itu berkemungkinan padat terutama membabitkan tragedi runtuhan tanah di Jalan Batang Kali-Genting dan bencana banjir.

“Tarikh pertemuan tidak ada lagi, tetapi kita sudah hantar dokumen atau proposal perkara yang kita mahu bincangkan yang belum diselesaikan Menteri Kesihatan lepas.

“Selain itu, Gerakan Hartal ada buat tinjauan berkenaan masalah dihadapi doktor kontrak dengan mengumpulkan kira-kira 500 responden. Itu pun kita masukkan sekali dalam dokumen terbabit.

“Dokumen itu kita sudah hantar pada Setiausaha Politik Menteri Kesihatan pada Selasa lalu dan beliau maklumkan sudah diserah pada menteri cuma menteri belum tentukan tarikh pertemuan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Muhammad Yassin, tuntutan tawaran perjawatan tetap dengan caruman KWSP menjadi antara isu yang belum diselesaikan kerana Kementerian Kesihatan sebelum ini memberitahu ia melibatkan pindaan akta pencen.

Beliau berkata, tuntutan itu relevan kerana permintaan tawaran tetap dilihat sukar dilaksanakan untuk semua kerana pembiayaan pencen melibatkan kos tinggi.

“Jadi kita harap tawaran tetap dengan caruman KWSP pun tiada masalah supaya kurang bebanan kepada kerajaan. Isu ini masih belum selesai sebab Menteri Kesihatan sebelum ini beritahu yang ia melibatkan (pindaan) akta pencen.

“Kita juga harap dapat teliti semula kenaikan pangkat time-based sebab doktor tetap selepas dua tahun menyelesaikan latihan klinikal naik gred UD44 dan selepas tiga tahun naik gred 48. Tetapi doktor kontrak tidak ada kenaikan pangkat yang mana hanya naik gred UD43 selepas tiga tahun. Jadi, banyak perbezaan sama ada gaji, elaun atau kemudahan walaupun doktor kontrak itu sudah berkhidmat dalam tempoh masa yang sama dengan doktor tetap.

“Selain itu, doktor kontrak tidak boleh ambil cuti tanpa gaji sedangkan doktor tetap boleh. Kadangkala ada kecemasan kita perlu ambil cuti tanpa gaji, jadi susahlah apabila tak boleh.

“Tawaran program kepakaran juga kalau boleh dibuka sama rata tanpa membezakan doktor kontrak dan tetap. Sekarang ini ada sesetengah kepakaran doktor kontrak tak boleh sambung. Dalam pertemuan itu nanti, kita juga mahu bincang soal Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan untuk tahu apa pelan menteri sama ada mahu laksanakannya atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, selain isu perjawatan pegawai perubatan kontrak, Gerakan Hartal juga mahu membangkitkan kebimbangan soal penghijrahan golongan doktor dan kakitangan perubatan tempatan ke luar negara.

“Selain doktor kontrak, kita juga mahu tahu bagaimana menteri mahu menangani isu berhubung doktor yang ramai berhijrah ke luar negara sebab kalau doktor berkurang atau tak cukup, maka beban kerja boleh jadi tinggi,” ujarnya.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Ogos lalu mempertimbang cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan melalui dokumen Kertas Putih Kesihatan, bagi membolehkan pengurusan lebih terancang khusus untuk meningkatkan jumlah perjawatan serta elaun pekerja di kementerian itu.

Bagaimanapun, rancangan tersebut dijangka tidak dapat diteruskan memandangkan bekas ahli Parlimen Rembau itu tewas dalam PRU15 dan tidak lagi berpeluang memegang sebarang jawatan dalam Kabinet.

Khairy semasa pertemuan sebelum sesi penyerahan Nota Serah Tugas bekas Menteri Kesihatan kepada Menteri Kesihatan baharu sebelum ini, berharap supaya pembentangan Kertas Putih Kesihatan diteruskan kerana penting untuk reformasi sistem kesihatan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN