Harga ikan kembung kembali murah

Harga ikan kembung kembali murah

PENIAGA dan pembeli sedang menawarkan harga hasil tangkapan laut yang didaratkan di Pasar Bisik Kuala Muda di Sungai Petani, Kedah. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lambakan hasil laut di Pasar Bisik Kuala Muda, di sini menyaksikan harga pelbagai jenis ikan menurun sekali gus menceriakan nelayan, peniaga dan pengguna.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, harga ikan kembung jatuh mendadak daripada RM9 sekilogram (kg) sebelum ini kepada RM5 menyebabkan permintaannya melebihi penawaran berbanding hari biasa.

Seorang nelayan, Mahmud Mat Ali, 43, berkata, dia tidak menyangka memperoleh tangkapan ikan kembung yang banyak berbanding dua tiga hari sebelum ini.

“Keseluruhan nelayan yang turun ke laut kelmarin memperoleh hasil tangkapan terutama ikan kembung yang banyak menyebabkan kami gembira.

“Biarpun harga dibeli peraih rendah, kami bersyukur kerana memperoleh pendapatan tinggi berikutan ikan dijual dengan kuantiti banyak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Selain ikan kembung, harga udang dan sotong turut menurun antara RM4 hingga RM5 sekilogram.

Seorang lagi nelayan, Zainal Abidin, 50, berkata, peningkatan perolehan hasil laut dijangka berterusan sehingga akhir bulan ini selepas keadaan laut kembali tenang dan cuaca elok.

“Kami menjangkakan laut tidak lagi bergelora dan peluang ini membolehkan kami memukat ikan, udang serta ketam dengan selamat. Syukur hasil laut yang diperoleh banyak ini turut meningkatkan pendapatan kami untuk menyara keluarga,” katanya.

Sementara itu peniaga ikan, Hamid Mat Yani, 48, berkata, harga belian hasil laut yang didaratkan nelayan di sini bergantung kepada bekalan.

“Jika banyak ikan dan tangkapan lain, harganya turun pada kadar yang sepatutnya dan keadaan ini disukai semua pihak. Walaupun kami beli borong tetapi ia turut memberi keuntungan kepada nelayan,” katanya.

Bagi seorang pengguna, Habibah Hamid, 42, pula berharap hasil laut yang diperoleh nelayan sentiasa banyak kerana ia sekali gus menyebabkan harga jualan menurun.

“Hampir dua minggu lalu harga ikan kembung mencecah RM18 sekilogram dan ini menjadi tekanan kami untuk memperoleh sumber protein untuk keluarga. Namun dengan harga yang rendah dapatlah kami membeli dengan kuantiti yang banyak untuk disimpan terutama musim cuti ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya