Harapan kontraktor agar harga bahan binaan terus terkawal

Harapan kontraktor agar harga bahan binaan terus terkawal

PRODUKTIVITI buruh per jam bekerja di Malaysia mencatatkan pertumbuhan meyakinkan sebanyak 4.9 peratus kepada RM46.3 setiap jam pada suku tahun keempat 2025. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun. Daripada status sebuah negara yang mencapai kemerdekaan pada 1957, kini Malaysia sedang mengorak langkah ke hadapan untuk menjadi sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi.

Dalam usaha untuk mencapai objektif tersebut, ia telah terbukti dengan pembinaan pelbagai projek mega yang kian rancak seperti Lebuhraya PLUS, Lapangan Terbang KLIA, Jambatan Pulau Pinang, Kompleks Pentadbiran Putrajaya, Litar Lumba Sepang dan lain-lain lagi.

Dalam membincangkan pe­lak­sanaan projek mega, komposisi pelaksanaan projek terdiri daripada beberapa komponen yang boleh dikenali sebagai 3M. Tiga elemen utama terdiri daripada Man Power atau buruh binaan, Material (bahan binaan) dan Machine (jentera binaan). Ketiga-tiga M ini amat memainkan peranan yang amat pen­ting dan boleh dianggap sebagai kunci kepada kejayaan sesuatu projek pembinaan.
Isu bahan binaan yang berlaku pada masa ini amat berkait rapat dengan masalah penyiapan kerja di tapak bina. Antara bahan binaan yang kerap digunakan di tapak bina adalah se­perti besi tetulang, simen, pasir, batu bata, jubin lantai, cat dan lain-lain lagi. Melalui pemerhatian, kadar harga bahan binaan pada masa kini di pasaran didapati telah berlaku kenaikan yang drastik yang ia juga dianggap tidak masuk akal.

Berdasarkan kepada isu semasa, terdapat kenaikan harga binaan logam yang telah menyebabkan kos pembinaan projek telah meningkat begitu ketara sekali.
Selain daripada itu, hasil semakan harga binaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik menerusi Siaran Khas untuk Kerja-Kerja Kejuruteraan Awam pada Mei 2022 menunjukkan telah berlaku kenaikan harga yang sangat tinggi. Sebagai contoh untuk bahan binaan bagi besi tetulang (mild steel) bagi size 10mm diameter di Kawasan Tengah yang meliputi area Lembah Kelang pada April 2021 adalah RM 2,463.45 per ton.

Manakala harga terkini pada April 2022 adalah RM 4,078.74 per ton. Kenaikan harga bahan mentah sebanyak RM 1,615.29 per ton ini dilihat amat memeritkan baik kepada pihak kontraktor, klien atau pembeli rumah. Pihak kontraktor yang biasa menghargakan kerja untuk item bertetulang sekitar RM 4,500 per ton akan berhadapan situasi dilemma yang mana ada kemungkinan mereka tiada mendapat keuntungan dan mungkin akan menanggung kerugian di atas kerja yang dijalankan.

Tambahan daripada itu juga, terdapat harga bahan binaan lain yang dapat dilihat kenaikan berlaku mendadak iaitu simen di kawasan Pantai Timur. Pada April 2021, ia menunjukkan harga simen RM17.01 per beg. Namun begitu, pada April 2022 ia telah mencatatkan kenaikan kepada RM 19.28 per beg. Walaupun kenaikan hanya sebanyak RM 2.27 per beg, tetapi ia memberi kesan kepada prestasi kerja kontraktor untuk menyiapkan kerja di tapak bina

Kenaikan harga binaan ini sememangnya amat memberi kesan kepada pelaksanaan projek di tapak bina seperti kemajuan kerja menjadi perlahan. Hal ini kerana pihak kontraktor amat berhati-hati untuk membeli bahan binaan utama bagi mengelakkan kerugian besar berlaku. Selain itu, berkemungkinan kontraktor akan menarik diri daripada meneruskan projek pembinaan kerana jika diteruskan projek pembinaan kerugian besar bakal ditanggung oleh pihak kontraktor. Akibatnya, projek pembinaan akan berhadapan dengan risiko terbengkalai yang mana kontraktor gagal menyiapkan projek pembinaan lantaran daripada ketidakmampuan mendapatkan bekalan bahan binaan. Bukan itu sahaja, malahan pihak pembeli khasnya seperti pembeli rumah akan tertunggu-tunggu bilakah rumah yang mereka idamkan dapat disiapkan mengikut masa seperti perjanjian yang terpatri sebelum ini.

Oleh demikian, peranan atau bantuan daripada pihak kerajaan amat diharapkan oleh pemain industri pembinaan seperti kontraktor, subkontraktor, pembekal dalam mengawal kenaikan harga bahan binaan secara berterusan dan berkesan. Pihak berwajib seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atau melalui Persatuan Kontraktor dilihat perlu bergabung tenaga mencari idea bagi mengatasi masalah yang terus membelenggu bagi demi menjaga reputasi baik industri pembinaan di Malaysia. Walaupun pihak kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah seperti memperkenalkan syarat Variation of Price (VOP) di dalam perolehan sebut harga, tender konvensional dan tender reka dan bina. Nampak gayanya ia hanyalah terhad kepada kontrak yang berlangsung pada 2021. Oleh demikian nikmat tersebut tidak dapat dirasai oleh semua pihak kontraktor yang mana ia boleh dianggap bersifat sementara.

Jika di sektor lain, sebagai contoh industri ternakan ayam, bila tiba musim perayaan, pelbagai elemen kawalan diperke­nal­kan oleh pihak kerajaan terhadap harga ayam iaitu seperti menetapkan harga kawalan pada ayam tersebut. Janji dan usaha berterusan kerajaan tersebut dilihat dapat membantu rakyat yang rata-ratanya terdiri daripada berpendapatan sederhana.

Oleh demikian, usaha yang sama ini juga amat diharapkan oleh kebanyakan kontraktor agar ia dapat disebarluaskan kepada industri pembinaan terutamanya dalam usaha membendung kenaikan harga binaan yang melampau. Dengan ada­nya usaha dan pertolongan daripada kerajaan ini, ia akan membantu melegakan para syarikat kontraktor yang terdiri daripada Gred G1 sehinggalah kepada Gred G7 yang sememangnya merupakan tulang belakang kepada kunci pembangunan infrastruktur di Malaysia agar tidak terus dibelenggu dengan masalah kenaikan harga bahan.

PENULIS adalah Prof. Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom adalah Ketua Koordinator Jaringan Global, Unit Building Infomation Modelling (BIM), Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM) Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan), Fakukti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan

Sr Norazilan Mazahar, PQS, MRISM Penolong Juruukur Bahan Kanan, Bahagian Kontrak Dan Ukur Bahan (BKUB), Jabatan Pengurusan Pembangunan Dan Harta Benda (JPPHB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN