Hanya telur gred C kurang di Melaka

Hanya telur gred C kurang di Melaka

NGWE Hee Sem meninjau harga barangan kawalan selepas melancarkan SHMMP Krismas 2022 di sebuah pasar raya di Peringgit, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekalan telur di Melaka disahkan berlaku kekurangan kuantiti namun tidak serius sehingga menjejaskan golongan peniaga dan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan telur di Melaka tidak akan terputus, walaupun berlaku kekurangan di pasaran tempatan.

Menurutnya, kekurangan bekalan hanyalah bagi gred C manakala gred A dan B masih boleh diperoleh peniaga dan isi rumah.

“Kekurangan bekalan itu berlaku berikutan permintaan yang tinggi daripada pengguna sewaktu musim cuti sekolah dan perayaan Krismas. Walaupun begitu orang ramai masih boleh membeli telur gred D serta E yang tidak dikawal harga oleh kerajaan.

“Memang bekalan telur di Melaka ada kekurangan tetapi ia tidak terlalu serius dan orang ramai atau peniaga masih boleh mendapatkan bekalan tersebut. Kita sudah jangka bulan ini akan berlaku kekurangan telur kerana permintaan tinggi sebab musim cuti sekolah dan sambutan Krismas.

“Kita juga turut menantikan telur import dari India yang dijangka dapat menampung kekurangan bekalan yang berlaku di negeri ini,” katanya selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 di sebuah pasar raya di Peringgit di sini hari ini.

Tambah Hee Sem, kerajaan negeri telah mengadakan banyak perbincangan dengan pihak penternak di Melaka agar dapat mengimbangi kekurangan bekalan.

Menurutnya, setakat ini KPDN tidak menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga telur luar biasa kerana pihak peruncit dan pasar raya dilihat mematuhi harga yang telah ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN