Gabungan parti Kerajaan Perpaduan berunding hadapi PRN

Gabungan parti Kerajaan Perpaduan berunding hadapi PRN

SAIFUDDIN NASUTION Ismail (tiga dari kanan) bersama Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari (tiga dari kiri) dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu (kanan) memegang poster PH yang disumbangkan PKR Cabang Alor Gajah sewaktu menghadiri Program Semarak Azam Baru 2023 'Dari Harapan Ke Perpaduan' di SJKC Machap Baru, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan rundingan dengan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, satu perbincangan bakal diadakan dengan semua parti terlibat bagi membincangkan secara khusus persiapan menghadapi PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Tanpa mendedahkan sebarang butiran lanjut, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perbincangan perlu segera diadakan selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Bagi menghadapi PRN nanti PH akan membuat persiapan awal dengan melaksanakan program jelajah ke enam buah negeri awal tahun depan bagi menghadapi pilihan raya di enam buah negeri ini.

“Program ini akan bermula cepat kerana usaha kita untuk menang dalam membentuk kerajaan negeri seperti mana Kerajaan Perpaduan yang berjaya dibentuk.

“Paling penting kita cuba untuk mendekati pengundi bagi meyakinkan mereka untuk memilih Kerajaan Perpaduan yang berjaya dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Azam Baru 2023 ‘Dari Harapan Ke Perpaduan’ di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru di sini, malam tadi.

Tambah Saifuddin, perbincangan dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini telah memutuskan untuk memberi tumpuan utama menghadapi PRN, tanpa mengabaikan tugas-tugas di kementerian.

“Kami ada tugas hakiki iaitu menjadi sebahagian daripada pentadbiran Jemaah Menteri tetapi tugas penting juga mengadakan persiapan PKR dan PH untuk mendepani PRN yang tempohnya kita tahu, tidak sampai enam bulan.

“Ini tugas yang maha mustahak yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kami, sebab dalam perjumpaan dengan akar umbi parti malam ini, saya sebut tentang fokus itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya